KUALA PILAH, 11 Feb (Bernama) -- Seorang mekanik maut apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori simen di Kilometer 4, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Mustafah Hussin berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam semasa mangsa berusia 21 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki mangsa cuba memotong lori di hadapannya, namun tidak berjaya.
“Pada masa sama, sebuah kereta dari arah bertentangan berselisih dengan motosikal tersebut mengakibatkan mangsa bergesel dengan lori sebelum terjatuh ke bawah lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial