AM

Program Felo Perdana Disambung Semula Jun Ini

11/02/2026 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Program Felo Perdana anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ditangguhkan sejak dua tahun lepas akan dilaksanakan semula bermula Jun hingga Oktober ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata pelaksanaan program berkenaan yang diperkenalkan pada 2013, ditangguhkan pada 2024 dan 2025 bagi memberikan laluan kepada kajian menyeluruh oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Beliau berkata kajian itu berkait keberkesanan program, modul latihan serta impaknya terhadap pembangunan kepimpinan belia.

“Selepas 10 tahun perlu ada satu kajian untuk melihat keberkesanan program ini. Jadi, hasil kajian mendapati 95 peratus peserta menunjukkan peningkatan tinggi dalam kemahiran kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah selepas menyertai program ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) berhubung sama ada KBS bercadang meneruskan program berkenaan serta bentuk penambahbaikan yang akan diperkenalkan.

Selain itu, Mordi berkata 88.7 peratus peserta menyatakan program itu menyumbang kepada pembangunan kerjaya, manakala 80 peratus bersetuju ia memberikan impak positif terhadap pembinaan rangkaian profesional.

Program Felo Perdana bertujuan memberikan pendedahan awal kepada belia berpotensi tinggi dalam aspek penggubalan dasar, tadbir urus kerajaan dan kepimpinan pada peringkat tertinggi negara.

Mengenai penambahbaikan program itu, Mordi berkata 62 peserta akan dipilih bagi edisi kali ini sebagai menti dan akan ditempatkan secara lebih tertumpu di empat pejabat utama, iaitu Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selama empat bulan.

Beliau berkata proses pemilihan juga akan diperkukuh melalui pelaksanaan penilaian berpusat selepas sesi temu duga dan ujian psikometrik, selain diwajibkan menandatangani surat aku janji integriti bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Dari segi syarat penyertaan pula, program kali ini hanya dibuka kepada belia yang telah tamat pengajian, berbanding sebelum ini yang turut menerima pelajar tahun akhir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan