AM

Kementerian Perpaduan Sambut Baik Titah Agong, Tekankan Dialog, Rundingan Dalam Isu Rumah Ibadat

11/02/2026 02:26 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara menegaskan sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat perlu diselesaikan melalui dialog dan rundingan bersama-sama semua pihak berkepentingan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian memberikan ruang penuh kepada proses perbincangan dan rundingan konstruktif dengan matlamat mencapai penyelesaian yang adil, harmoni dan berlandaskan undang-undang.

“Oleh itu, kementerian menyokong cadangan peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa sebuah jawatankuasa peringkat nasional perlu ditubuhkan untuk menangani isu rumah ibadat haram secara menyeluruh di seluruh negara.

“Keanggotaan jawatankuasa itu hendaklah merangkumi pakar dalam hal ehwal agama, kerajaan tempatan, tanah dan undang-undang bagi memastikan penyelesaian yang adil dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata kementerian turut menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat mesti dipatuhi mengikut undang-undang dan tidak dipolitikkan.

Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda menekankan Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian dan kekuatannya terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan undang-undang.

“Titah Seri Paduka Baginda panduan penting kepada semua pihak untuk sentiasa menghormati undang-undang dan menyelesaikan sebarang isu melalui saluran sah.

“Malaysia sebuah negara berbilang agama, budaya dan tanggungjawab memelihara nilai perpaduan, keamanan dan keharmonian terletak pada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Aaron berkata kerajaan menegaskan isu pembinaan rumah ibadat mesti ditangani sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada antaranya Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) melalui PLANMalaysia.

Terdahulu, menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.

Sultan Ibrahim bertitah apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara dan menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah.

Seri Paduka Baginda menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan