JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Gegar: Imigresen Johor Tahan 66 Warga Asing Di Kelab Malam

11/02/2026 03:53 PM

JOHOR BAHRU, 11 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 66 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di daerah ini, malam tadi.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata Ops Gegar melibatkan sepasukan pegawai bahagian penguat kuasa negeri dan menyasarkan premis yang baru beroperasi enam bulan itu, dijalankan pada 10 malam.

Beliau berkata bertindak atas maklumat dan risikan selama dua minggu, seorang lelaki yang dipercayai pengurus premis berumur 38 tahun berjaya ditahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 47 warga Thailand, empat warga Indonesia, Vietnam (tiga), India dan Laos masing-masing lima serta dua lagi dari Filipina dan China berumur lingkungan 21 hingga 51 tahun, yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan.

"Kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata dua keping borang 29, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pendatang tanpa izin serta majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan