EKONOMI

GWM WEY G9 Raih Lebih 800 Tempahan Seminggu Selepas Pelancaran

11/02/2026 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb  (Bernama) -- Pelancaran WEY G9 Hi4 PHEV oleh Great Wall Motor (GWM) berjaya meraih lebih 800 tempahan dalam tempoh seminggu pertama, mencerminkan permintaan awal yang kukuh terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) tenaga baharu mewah pemasangan tempatan pertama serta peningkatan keyakinan pelanggan terhadap kenderaan hibrid pintar.

GWM Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan WEY G9 merupakan langkah strategik dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport serantau bagi kenderaan tenaga baharu mewah di ASEAN.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pengenalan WEY G9 adalah langkah berani GWM dalam menjadikan mobiliti bertaraf dunia lebih mudah diakses.

“Dengan mengutamakan keselesaan, keselamatan dan mobiliti canggih untuk keluarga Malaysia, aspirasi GWM selari dengan matlamat negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan seimbang,” katanya.

Sim berkata inisiatif pemasangan tempatan membolehkan syarikat memanfaatkan ekosistem vendor khusus serta tenaga kerja mahir di Malaysia, di samping memperoleh manfaat daripada perjanjian perdagangan bebas bagi menyokong eksport serantau.

“Inisiatif ini menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dengan meningkatkan peluang ekonomi, memperkukuh penyertaan vendor tempatan, di samping memajukan kemahiran teknologi melalui pemindahan teknologi yang bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan GWM Malaysia Cui Anqi berkata pihaknya teruja dengan sambutan menggalakkan daripada pelanggan di Malaysia.

“Tempahan ini bukan sekadar angka, ia mencerminkan pemahaman pelanggan terhadap nilai dan aspirasi WEY G9 itu. Kenderaan ini mencerminkan visi kami terhadap mobiliti mewah pintar yang menggabungkan teknologi canggih dengan keselesaan sebenar. Sambutan memberangsangkan ini menunjukkan yang warga Malaysia kini bersedia untuk beralih ke era baharu mobiliti tenaga  baharu,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia Roslan Abdullah berkata pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan permintaan pelanggan yang kukuh, malah keupayaan ekosistem pemasangan tempatan negara.

“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir kami dan rangkaian vendor yang ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan,” katanya.

WEY G9 yang berharga RM269,800 dilancarkan pada 29 Jan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Model pemasangan tempatan itu menggabungkan prestasi model hibrid, kecekapan, keselamatan serta keselesaan yang mewah 

Dikuasakan oleh sistem pintar hibrid, Hi4 GWM, WEY G9 mampu memberikan jarak pemanduan elektrik yang sepenuhnya sehingga 170 km dan jarak keseluruhan melebihi 1,000 km, menjanjikan keupayaan perjalanan jarak jauh harian yang cekap dan senyap

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan