AM

Bazar Ramadan, Aidilfitri Di Selangor Catat Nilai Transaksi RM668 Juta Tahun Lepas

11/02/2026 09:07 PM

SHAH ALAM, 11 Feb (Bernama) -- Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Selangor mencatatkan nilai transaksi jualan mencecah RM668 juta tahun lepas, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 15,000 peniaga bazar Ramadan direkodkan beroperasi di seluruh negeri pada tahun lepas, sekali gus membentuk rantaian ekonomi yang signifikan serta memberi limpahan manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana.

“Rekod jualan ini membuktikan aktiviti ekonomi rakyat terus rancak dan bazar sama ada Ramadan atau Aidilfitri kekal menjadi pemangkin penting kepada ekonomi tempatan,” katanya pada Majlis Penyerahan Permit dan Kit Penjaja Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Turut hadir Exco Belia, Sukan Dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata MBSA meluluskan sebanyak 1,283 permit bazar Ramadan melibatkan 25 lokasi di seluruh Shah Alam pada tahun ini, selain turut meluluskan 10 lokasi tapak bazar Ramadan di bawah anjuran pihak swasta dan persatuan penduduk melibatkan sebanyak 840 lot tapak.

Ditanya mengenai bantahan penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kurau, Pulau Carey, berhubung projek peluasan Pelabuhan Westport yang didakwa mengancam tanah adat dan sumber rezeki, Amirudin berkata kerajaan negeri akan meneliti perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.

Terdahulu, masyarakat Mah Meri melalui surat undangan kepada media memaklumkan Kampung Orang Asli Sungai Kurau, yang diwartakan sejak 1921, kini berdepan ancaman besar susulan cadangan peluasan pelabuhan berkenaan.

Menurut surat itu, seramai 238 penduduk asal mendakwa belum menerima rundingan telus daripada pihak pemaju walaupun projek itu memberi kesan langsung terhadap tanah adat, kawasan perikanan dan kelangsungan budaya.

Pembangunan itu didakwa boleh menjejaskan kawasan tangkapan nelayan yang menjadi sumber utama pendapatan penduduk, selain memberi impak kepada seni ukiran kayu Mah Meri yang diiktiraf sebagai warisan oleh Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan