AM

Townhall Selangor Care Network Perkasa Ekonomi Penjagaan Negeri

12/02/2026 06:50 PM

SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) menganjurkan Townhall Selangor Care Network (SCN) semalam, bagi mendengar suara pihak berkepentingan ekonomi penjagaan serta menyampaikan inisiatif di bawah Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan Selangor.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata program itu mengumpulkan lebih 80 pihak berkepentingan ekonomi penjagaan di Selangor, terdiri daripada pengusaha pusat jagaan, operator individu dan wakil persatuan berdaftar di bawah SCN.

Beliau berkata sesi Townhall SCN itu dimulakan dengan pembentangan inisiatif ekonomi penjagaan pada tahun lepas serta perancangan inisiatif untuk 2026, sebelum diteruskan dengan sesi dialog dua hala.

“Sesi ini turut memberikan ruang dialog dua hala untuk pihak berkepentingan menyuarakan cabaran sebenar di lapangan, berkongsi pengalaman praktikal dan membincangkan penyelesaian.

“Inisiatif yang dirangka bagi 2026 itu juga ialah jawapan bagi kerisauan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, khasnya pengusaha pusat jagaan dalam siri townhall yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Anfaal berkata antara inisiatif utama yang dibincangkan termasuk Garis Panduan Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya yang baru diluluskan pada peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam.

Beliau berkata program hari ini turut menampilkan video pesanan umum untuk mengelakkan penipuan yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, sebagai respons kepada isu penipuan menggunakan nama berkaitan kebajikan.

“Pelaksanaan Townhall SCN diharapkan pihak berkepentingan membawa pulang pengetahuan, idea, dan strategi untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan, memperkukuh jaringan serta terus menyokong pembangunan industri ekonomi penjagaan, khususnya di Selangor,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan