EKONOMI

MFA Sasar Pelaburan Berpotensi RM600 Juta Menerusi Francais Antarabangsa Malaysia 2026

12/02/2026 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan nilai pelaburan berpotensi berjumlah RM600 juta melalui pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2026, meningkat daripada RM424 juta yang dicatatkan tahun lepas.

Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan berkata sasaran itu berasaskan keyakinan industri yang semakin kukuh serta rekod prestasi pameran tahunan itu dalam menjana hasil perniagaan yang ketara.

“FIM diperkenalkan buat kali pertama dengan objektif tumpuan untuk menggalakkan dan memperkukuh francais tempatan. Bagaimanapun, FIM telah berkembang jauh melangkaui skop asalnya,” katanya pada majlis pelancaran rasmi FIM 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata FIM kini muncul sebagai antara platform francais paling berpengaruh di rantau ini, menghubungkan jenama Malaysia dengan pasaran global di samping membawa peluang francais antarabangsa ke Malaysia.

“Perkembangan ini mencerminkan kematangan ekosistem francais Malaysia serta keyakinan penggiat industri global terhadap pasaran kita. FIM bukan lagi sekadar pameran malah juga platform pertemuan strategik yang menghimpunkan idea, pelaburan dan kerjasama,” katanya.

Radzali berkata FIM 2026 akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei , 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pameran itu meliputi dua dewan, dengan lebih 250 reruai dan lebih 100 pempamer dari Malaysia dan luar negara, serta dijangka menarik kehadiran 25,000 pengunjung.

Sehingga kini, FMI 2026 telah mencapai kadar penyertaan kira-kira 80 peratus, menandakan sambutan amat memberangsangkan daripada penggiat industri tempatan dan antarabangsa.

Radzali yang menekankan impak pameran itu berkata beberapa pempamer pada edisi terdahulu mencatatkan pengembangan ketara selepas acara itu.

Sebagai contoh, US Pizza melantik 12 pemegang francais baharu, HOME Maths Therapy memperoleh lebih 10 pemegang francais, manakala Midyson memperluas kehadirannya di Lembah Klang melalui pembukaan cawangan baharu oleh pemegang francaisnya.

“Hasil ketara ini membuktikan impak perniagaan yang sebenar dan boleh diukur daripada pameran ini sebagai platform berkesan untuk pengembangan francais dan pemudahan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata sektor francais terus menjadi tonggak daya tahan ekonomi dengan mendorong kemampanan perniagaan, penciptaan pekerjaan serta pengukuhan kehadiran dalam pasaran domestik dan serantau.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menyokong sektor itu melalui pemudahan dasar, program pembinaan kapasiti, akses yang lebih baik kepada pembiayaan serta pembangunan bakat, selaras dengan Dasar Francais Negara (DFN) 2030.

“Dalam hal ini, saya berharap dapat melihat lebih banyak jenama francais menyertai FIM2026, mempamerkan pakej francais terbaik dan paling inovatif masing-masing, serta terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab francais terkemuka di rantau ini.

“Saya menggalakkan anda untuk memanfaatkan sepenuhnya platform ini bagi memperluas rangkaian, meneroka pasaran baharu dan menjalin kerjasama yang bermakna,” katanya ketika berucap melancarkan  FIM 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan