JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Isu "Peram" Kes Dalam Siasatan SPRM - Pengerusi PPO

13/02/2026 11:00 AM

GENTING HIGHLANDS, 13 Feb (Bernama) -- Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada petunjuk kes sengaja dilewatkan atau “diperam”, dengan kebanyakan kertas siasatan badan antirasuah itu mencapai sasaran masa ditetapkan.

Pengerusinya Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata antara perkara utama dilaporkan kepada PPO ialah peratusan kertas siasatan yang menepati tempoh masa, termasuk had siasatan tidak melebihi 12 bulan.

“Jaranglah saya ataupun ahli-ahli PPO lain yang mempersoalkan kenapa ia tak mencapai sasaran. Cuma kalau ada yang tidak (mencapai), itu nanti kita akan minta penjelasan. Setakat ini tiada isu.

“Bukanlah mereka sengaja melewat-lewatkan tindakan, melewatkan siasatan atau peram kes, kami tidak jumpalah,” katanya kepada pemberita di sela-sela program Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah di sini.

Mengulas peranan PPO, Ahmad Rosli berkata panel itu bukan sekadar memantau kecekapan, tetapi turut menilai semula kes yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) bagi memastikan tiada kelemahan siasatan terlepas pandang.

“Penilaian itu dari beberapa segi, yang pertamanya sama ada terdapat apa-apa kelemahan dalam siasatan itu sendiri yang perlu ditambah baik.

“Ataupun kalau siasatan itu gagal mengambil kira satu sudut lain, kita bagi arahan ataupun bagi nasihat untuk menyiasat dari sudut lain, termasuk juga dalam keadaan yang mungkin siasatan itu tidak menimbulkan satu kesalahan rasuah tapi kemungkinan ada kesalahan lain juga ditimbulkan,” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ceramah pada program bersama media tempatan itu, beliau mendedahkan SPRM membentangkan 1,869 kertas siasatan dengan keputusan NFA kepada PPO bagi tempoh 2009 hingga tahun lepas.

Daripada jumlah itu, PPO bersetuju dengan 1,760 keputusan NFA manakala 136 kertas siasatan diarahkan untuk semakan semula.

Ahmad Rosli turut berkata  SPRM bersikap terbuka terhadap teguran panel, termasuk saranan memperkukuh kepakaran pegawai penyiasat.

“Kalau kita buat komen, tidak adalah SPRM jadi defensif dan mempertahankan diri. Dia ambil kira komen kita itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan