EKONOMI

PR1MA Lantik Brian Iskandar Zulkarim Sebagai CEO Kumpulan

13/02/2026 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- PR1MA Corporation Malaysia melantik Brian Iskandar Zulkarim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff yang menggalas tanggungjawab berkenaan sejak 4 Mei 2020.

Brian Iskandar sebelum ini merupakan CEO Bandar Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan. 

“Di bawah kepimpinan beliau, pembangunan Bandar Malaysia seluas 196.27 hektar berjaya dipacu, termasuk penyediaan dan kelulusan Pelan Induk Bandar Malaysia yang merangkumi pembangunan bercampur serta infrastruktur strategik dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM173 bilion,” menurut pemaju hartanah itu dalam kenyataan hari ini.

Brian Iskandar turut berpengalaman menerajui syarikat senaraian awam sebagai CEO dan Pengarah Urusan kumpulan Damansara Realty Bhd, dengan menerajui inisiatif utama termasuk pembangunan Bandar Damansara Aliff di Johor dan Bandar Damansara Kuantan di Pahang.

Beliau juga pernah berkhidmat di Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai CEO anak syarikat MAHB iaitu Urusan Teknologi Wawasan serta sebagai Pengurus Besar Pengurusan Transformasi dan Pelaburan Luar Negara.

Sementara itu, Pengerusi PR1MA Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata pelantikan itu mencerminkan komitmen PR1MA terhadap kesinambungan kepimpinan yang kukuh, stabil dan berfokuskan prestasi.

“Kami yakin beliau akan meneruskan momentum serta asas kukuh yang telah dibina sebelum ini di samping memperkenalkan pendekatan baharu yang strategik, progresif dan selari dengan keperluan semasa industri perumahan serta aspirasi rakyat.

“PR1MA turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Nazri atas sumbangan signifikan beliau dalam memacu usaha penambahbaikan perbadanan dan memperkukuh struktur operasi sepanjang menerajui PR1MA,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan