AM

Murid 12 Tahun Berjaya Selamatkan Rakan Hampir Lemas

14/02/2026 10:47 PM

ALOR SETAR, 14 Feb (Bernama) -- Tindakan pantas dan berani seorang kanak-kanak lelaki berjaya menyelamatkan rakannya yang berusia 10 tahun daripada lemas dalam kejadian di Pantai Pasir Hitam, Langkawi, hari ini.

Faris Danish Zulfadli, 12, berkata semasa kejadian, dia bersama dua lagi rakannya baru sahaja selesai menjalani latihan merentas desa, sebelum mereka ke kawasan pantai berkenaan untuk berehat.

“Tiba-tiba, seorang rakan yang sedang bermain di kawasan batu jatuh ke dalam laut, mungkin tergelincir. Saya ingat dia pandai berenang, jadi saya duduk sahaja di tepi pantai bersama seorang lagi rakan, tetapi selepas menunggu beberapa minit dia masih belum naik.

“Pada mulanya, saya berfikir sama ada hendak selamatkan dia atau tidak kerana bimbang saya juga akan turut lemas, tetapi saya tidak mahu tinggalkannya. Jadi, saya terus terjun ke dalam air dan tarik dia naik ke darat sebelum melakukan bantuan pernafasan (CPR),” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Faris Danish yang juga atlet pelayaran dan Ketua Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad, Langkawi berkata selepas melakukan CPR, dia terus menghubungi ayahnya supaya datang segera ke lokasi kejadian.

“Selepas itu, ayah ada minta tolong seorang pelancong luar negara untuk menggendong rakan saya secara terbalik bagi membolehkan air keluar. Waktu itu dia mula sedar, selepas ambulans sampai, dia terus dibawa ke hospital untuk diberi rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kerana berjaya menyelamatkan rakan. Semua ilmu dan pengalaman berkaitan sukan pelayaran, aktiviti berenang dan CPR yang dipelajari sebelum ini memang sangat membantu,” katanya.

Sementara itu, ayahnya, Zulfadli Mohd Yusoff, 41, yang bekerja sendiri berkata semasa anak sulung daripada dua beradik itu menghubunginya, dia berpesan kepada anaknya supaya tidak turun ke laut kerana bimbang dengan keselamatannya.

“Saya memang sudah dedahkan Faris Danish dengan aktiviti air sejak berusia 11 bulan lagi tapi ini kali pertama berdepan situasi seperti ini, jadi memang bimbang tetapi syukur, dia dan rakannya selamat dan sebagai seorang ayah memang saya sangat bangga dengan keberaniannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin yang dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mangsa yang berusia 10 tahun sebelum itu dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan