AM

Kerajaan Persekutuan Terus Bantu Tingkat Ekonomi Johor - PM Anwar

15/02/2026 08:18 PM

PONTIAN, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan terus membantu Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan kedudukan ekonomi di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perbelanjaan bagi Johor adalah antara yang tertinggi di negara ini antaranya meliputi projek lebuh raya dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau berkata setiap projek yang dilaksanakan di Johor atau mana-mana negeri perlu memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Tahniah Kepada Negeri Johor yang kerjasama rapat (dengan Kerajaan Persekutuan). Kita bantu semaksimum mungkin untuk mengangkat kedudukan ekonomi Johor,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian dan Karnival Rakyat MADANI di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, Anwar berkata sebanyak 23 projek pembangunan fasiliti kesihatan dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM) dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM2.625 bilion di Johor.

“Orang boleh nilai, memang betul projek besar penting… ini transisi tenaga, soal elektronik, soal transformasi kerana kita masih digital iaitu teknologi digital.

“Hal ini semua penting tetapi akhirnya yang penting itu anak di rumah… orang miskin di kampung yang mesti kita lihat dan cuba selesaikan,” kata beliau. 

Sementara itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak termasuk pegawai daerah dan pemimpin tempatan agar mengutamakan ketelusan, integriti dan keberkesanan dalam pentadbiran bagi memastikan dana yang diluluskan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

“Johor mempunyai potensi luar biasa dan dengan pengurusan yang betul, negeri ini boleh mencapai kemajuan yang lebih signifikan, sambil memastikan rakyat terus mendapat perhatian dan sokongan,” kata beliau.

Mengenai tuntutan hasil Johor diutarakan Onn Hafiz dalam ucapan pada majlis berkenaan, Anwar berkata satu rundingan perlu dilaksanakan dengan baik membabitkan kedua-dua pihak bagi menyelesaikan perkara itu.

“Jadi kalau begitu, rundinglah dengan baik. Yang pentingnya adakah rakyat dapat kebajikan sepenuhnya wang pusat, wang daerah, wang negeri?

“Itu semua teknikal, tidak kisah apa, rakyat pedulikah kalau wang ini daripada negeri atau wang ini daripada pusat. Yang penting wang sampai kepada rakyat, ini bagi saya yang penting,” kata beliau. 

Sebelum ini, media melaporkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani lebih berkesan tanpa terlalu bergantung Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian susulan beberapa kelewatan mutakhir ini termasuk isu pembukaan Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem pagar automatik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta kelewatan projek tebatan banjir negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan