AM

Nahas Kereta, Lori: Perbualan Ringkas Di Kedai Makan Jadi Kenangan Terakhir - Bapa Mentua

15/02/2026 10:08 PM

IPOH, 15 Feb (Bernama) -- Perbualan ringkas usai makan di sebuah kedai makan, semalam menjadi kenangan terakhir yang terpahat dalam ingatan Muhd Fauzi Ibrahim, 60, sebelum menantunya terkorban dalam nahas di KM25 Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, pada hari sama.

Dalam kejadian itu, Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 26, serta dua anak saudaranya, Muhammad Adam Rifqi Mohd Fairuz, 12, dan Nur Aadimiyya Rifqina, 6, maut ketika dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Bagan Datuk untuk tujuan percutian keluarga sebelum menyambut ketibaan Ramadan.

Warga emas itu berkata dia berbual ringkas dengan Muhammad Nashrul di kedai makan itu di Teluk Intan dan sempat bertanyakan mengenai nasi dimakan arwah.

“Saya tanya dia, sedap tak nasi (yang dimakan). Arwah beritahu sedap dan dia habiskan semuanya. Saya pula tidak berapa lalu nak makan... itu kali terakhir saya dengan dia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali memaklumkan kemalangan kira-kira 2.30 petang semalam itu membabitkan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta jenis Kia Cerato dinaiki mangsa bersama lima penumpang lain.

Muhd Fauzi berkata dia hanya mengetahui tentang kemalangan itu melalui panggilan telefon daripada orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Kami sebenarnya telah sampai ke rumah inap di Bagan Datuk manakala arwah masih dalam perjalanan ke tempat kami dan tiba-tiba saya dapat panggilan memaklumkan tentang kejadian itu.

“Kami bergegas ke lokasi dan dimaklumkan anak saudara saya (Muhammad Adam Rifqi) meninggal di tempat kejadian, manakala dua lagi (maut) sedang mendapat rawatan pada ketika itu,” katanya.

Jenazah Muhammad Nashrul, katanya akan dikebumikan di kampung halamannya di Bagan Datuk manakala dua lagi kanak-kanak di Klang, Selangor.

Sementara itu, seorang daripada waris keluarga, Nur Ain Ahmad Zamri, 28, meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan.

“Saya mohon mana-mana individu yang berada di tempat kejadian untuk kongsikan sebarang maklumat atau jika ada rakaman video kamera papan pemuka, salurkan segera kepada pihak polis,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan