EKONOMI

Pelabur Asing Kekal Sebagai Pembeli Bersih Di Bursa Malaysia Untuk Minggu Keenam

16/02/2026 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM377.2 juta, iaitu kira-kira 25 kali ganda lebih tinggi daripada RM15.0 juta pada minggu sebelumnya, menurut MBSB Investment Bank Bhd.

Menurut MBSB dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 13 Feb 2026, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan, dengan satu-satunya aliran keluar sebanyak RM178.4 juta pada Jumaat.

Katanya aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Rabu (RM281.7 juta), diikuti Isnin (RM135.8 juta), Khamis (RM100.4 juta) dan Selasa (RM37.7 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM195.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM64.7 juta) dan pembinaan (RM58 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah penjagaan kesihatan (RM38.2 juta), teknologi (RM28.6 juta) dan perladangan (RM16.2 juta).” katanya.

Menurut MBSB, institusi tempatan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM211.5 juta, berterusan sehingga dua minggu berturut-turut jualan bersih, iaitu kira-kira 5.8 kali ganda daripada paras pada minggu sebelumnya.

Katanya peruncit tempatan kembali kepada jualan bersih selepas aliran masuk pada minggu sebelumnya, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM165.7 juta.

“Purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan yang meluas, dengan peruncit tempatan sebanyak 11.1 peratus, institusi tempatan (21.7 peratus) dan pelabur asing (4.2 peratus),” katanya.

Pada peringkat serantau, katanya pelabur asing mengakhiri aliran jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut, dengan aliran masuk asing bersih berjumlah US$10.89 bilion (US$1 = RM3.8970), didorong oleh aktiviti belian bersih di Taiwan, diikuti Korea Selatan, India, Thailand, Vietnam dan Filipina manakala hanya Indonesia mencatatkan aliran keluar asing bersih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan