AM

Sukma Waja Dijangka Mampu Bina Kekuatan Masyarakat, Pastikan PKR Bekerja Keras

16/02/2026 04:02 PM

KUANTAN, 16 Feb (Bernama) -- Program Wanita Jelajah Desa (Sukma Waja) dijangka mampu membina kekuatan dalam masyarakat dan memastikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat terus bekerja keras memenangi hati rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata komponen Sukma Waja merangkumi aspek aktivisme melibatkan pasukan untuk turun ke lapangan bagi mendekati masyarakat dan aspek pendidikan pula memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta advokasi hak-hak wanita secara berterusan.

“Kita percaya bahawa apabila wanita sejahtera, dilindungi dan diberi perhatian dalam pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan, maka negara juga akan sejahtera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukma Waja di Taman Gelora di sini, hari ini. 

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Silat Srikandi Gelanggang Seri Teja yang dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli.

Fadhlina, yang juga Menteri Pendidikan, berkata Sukma Waja akan memberikan tumpuan terhadap golongan wanita, khususnya pada peringkat Parlimen dan parti bagi memastikan komunikasi dan penyampaian maklumat kepada rakyat dapat diperkasakan.

“Insya-Allah, dari semasa ke semasa kita akan terus giatkan usaha supaya mesej Sukma Waja khusus untuk kesejahteraan wanita sampai ke seluruh negara,” katanya. 

Bercakap tentang Silat Srikandi Gelanggang Seri Teja, beliau berkata seni bela diri itu akan diperkenalkan sebagai antara program signifikan Sukma Waja bagi menggalakkan penyertaan remaja perempuan dalam aktiviti sihat serta mempelajari asas pertahanan diri.

“Program ini juga akan disertai dengan pengisian yang disusun Wanita Keadilan Pahang sebagai medium mendidik dan memperkasakan wanita muda,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata PKR akan terus memperkasakan wanita menerusi usaha meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen yang masih belum mencapai 30 peratus.

“Jika kita menjaga wanita, memberikan peluang dan ruang kepada mereka termasuk dalam pendidikan yang kini semakin terbuka, saya yakin Malaysia akan terus menjadi contoh dalam konteks kejayaan wanita di Parlimen, Kabinet dan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan