JENAYAH & MAHKAMAH

SAR Pelajar Warga Asing Dikhuatiri Lemas Diteruskan - Bomba

17/02/2026 09:50 AM

KUALA TERENGGANU, 17 Feb (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) warga Myanmar dikhuatiri lemas semalam, diteruskan 8.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Thoyyibah Taib berkata usaha pencarian pelajar lelaki itu kini diperluas hingga ke kawasan sepanjang tujuh kilometer di Pantai Pandak.

"Operasi juga giat dilakukan pasukan SAR di kawasan pesisir Pantai Batu Buruk untuk mengesan mangsa. Bagaimanapun, kita berdepan sedikit kesukaran berikutan keadaan cuaca dan ombak besar.

"Operasi pencarian oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terpaksa ditangguhkan sementara susulan keadaan ombak besar dan akan diteruskan selepas situasi kembali reda," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 36 anggota penyelamat digerakkan untuk kerja-kerja pencarian menggunakan bot jenis kevlar.

"Anggota terlibat termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APM)," katanya. 

Semalam, seorang lelaki warga Myanmar iaitu Sithu Moe Lwin, 18, yang merupakan pelajar Kolej INTI International University cawangan Nilai, Negeri Sembilan dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Batu Buruk.

Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Baharum Muhamad Hasim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.19 tengah hari yang memaklumkan terdapat kejadian lemas melibatkan empat remaja di Pantai Batu Buruk.

Beliau berkata empat pelajar iaitu dua lelaki dan dua perempuan datang ke lokasi kejadian untuk mandi-manda dan tiga daripada mereka warga asing manakala seorang pelajar tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan