AM

LJM Bekerjasama Dengan COREN Bantu Nigeria Tingkat Akreditasi Pendidikan Kejuruteraan

19/02/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menjalin kerjasama bimbingan dengan Council for the Regulation of Engineering in Nigeria (COREN) untuk membantu negara itu mempertingkat akreditasi pendidikan kejuruteraannya. 

LJM menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Nigeria yang mencapai status penandatangan di bawah Washington Accord pada Jun 2023 kini menumpukan usaha untuk memperoleh pengiktirafan di bawah Sydney dan Dublin Accord, khususnya bagi pendidikan teknologi kejuruteraan dan juruteknik kejuruteraan.

“Malaysia yang telah memperoleh status penuh bagi ketiga-tiga Accord itu berkongsi pengalaman serta kepakaran untuk membantu Nigeria menyesuaikan sistem dan standard akreditasi mereka selaras dengan amalan global,” katanya.

Pengarah Jabatan Akreditasi Kejuruteraan LJM, Ir Zairul Amri Zakaria dilantik mewakili LJM bagi program mentor itu yang berlangsung di Nigeria dari 7 hingga 13 Februari 2026. 

Sepanjang program berkenaan, delegasi LJM mengadakan sesi pertemuan dengan kepimpinan COREN termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Okorie Austin Uche; Pengerusi COREN Prof Christian A. Bolu serta Pengarah Akreditasi COREN Prof Baba Jibril El Yakubu.

“Program mentor ini membolehkan kita membantu Nigeria mempertingkatkan sistem akreditasi kejuruteraan, di samping memperluas pengalaman dan pembelajaran kita sendiri.

“Ia bukan sekadar perkongsian teknikal, malah membuka ruang pertukaran amalan terbaik, penyesuaian strategi dan pembinaan kapasiti yang lebih kukuh dalam bidang kejuruteraan,” kata Zairul Amri.

Program itu turut merangkumi sesi perkongsian amalan terbaik Malaysia meliputi penilaian pencapaian hasil program, objektif pendidikan serta penambahbaikan kualiti berterusan melalui pelaksanaan amalan terbaik dan pengurusan dokumentasi yang sistematik.

Selain itu, mereka turut mengadakan lawatan ke Dorben Polytechnic di Abuja dan Yaba College of Technology di Lagos bagi menilai tahap kesiapsiagaan institusi pendidikan tinggi Nigeria dalam usaha mencapai pemuafakatan di bawah Sydney dan Dublin Accord.

Menurut LJM, pihaknya akan terus komited menyokong negara yang memerlukan khidmat nasihat teknikal serta perkongsian kepakaran bagi memperkukuh sistem akreditasi dan membina kapasiti mampan dalam bidang kejuruteraan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan