Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih tinggi pada Khamis selepas cuti umum selama dua hari disusuli lonjakan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) dan niaga hadapan tenaga di Chicago Mercantile Exchange (CME).
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpusat di Mumbai Anilkumar Bagani memberitahu Bernama, niaga hadapan MSM kini menjejaki kenaikan harga minyak sayuran di pasaran berkaitan pada waktu cuti umum di Malaysia.
"Tumpuan kini pada data eksport minyak sawit bagi tempoh 1–20 Februari 2026 dan unjuran pengeluaran yang mungkin memberikan hala tuju yang lebih jelas untuk harga dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan minyak kacang soya di CME meningkat akibat spekulasi permintaan minyak soya yang semakin tinggi di bawah program biodiesel Amerika Syarikat.
Katanya, ini susulan pembentangan yang bakal dilakukan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) kepada Rumah Putih.
"Anggaran eksport untuk 1–15 Feb, 2026 menunjukkan penurunan berbanding tempoh yang sama pada bulan Januari.
"Menurut AmSpec Agri Malaysia (AMSPEC), eksport minyak sawit turun kepada 587,431 tan daripada 690,642 tan sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 103,211 tan atau 14.94 peratus," katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2026 meningkat RM80 kepada RM4,093 setiap tan, April 2026 naik RM94 kepada RM4,114 setiap tan dan Mei 2026 bertambah RM101 kepada RM4,117 setiap tan.
Kontrak Jun 2026 berkembang RM105 kepada RM4,116 setiap tan, Julai 2026 melonjak RM103 kepada RM4,111 setiap tan manakala Ogos 2026 mencatatkan kenaikan RM106 kepada RM4,108 setiap tan.
Jumlah dagangan menokok kepada 72,636 lot daripada 40,371 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka turun sedikit kepada 223,809 daripada 225,359 sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Mac Selatan susut RM80 kepada RM4,120 setiap tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial