Berminat dalam bidang ternakan, namun tinggal di kawasan bandar menjadi kekangan utama kerana ketiadaan tanah dan persekitaran tidak sesuai untuk berbuat demikian, selain keperluan modal yang tinggi.
Akan tetapi, perkembangan teknologi memungkinkan penduduk bandar untuk turut bergelar penternak tanpa perlu berbelanja besar mencari lokasi bersesuaian untuk membina kandang atau reban. Malah, mereka tidak perlu “mengotorkan” tangan menguruskan haiwan ternakan.
Dikenali sebagai sistem pawah moden, kaedah ini diperkenalkan oleh sebuah syarikat agroternak milik bumiputera sepenuhnya yang berpangkalan di Muar, Johor dengan ternakan biri-biri sebagai komoditi utama mereka.
TRANSISI TRADISIONAL KE PAWAH MODEN
Diasaskan pada 2021, Bebiri World menawarkan model perniagaan berasaskan sistem pawah tradisional orang Melayu, iaitu pemilik menyerahkan ternakan mereka kepada gembala untuk dijaga dan dibiakkan dengan anak yang lahir dibahagikan antara pemilik dan penggembala.
Bagaimanapun kata Ketua Pegawai Eksekutif Bebiri World Abdullah Muhammad Tajuddin, sistem itu ada kelemahan, khususnya dari segi dokumentasi, kejelasan hak pemilikan dan pengurusan risiko.
pic-2
“Oleh itu, kami perkenalkan model pawah moden atau ‘smart breeder’ dengan peranan dibahagikan secara jelas. Pihak kami selaku pemilik induk, bertanggungjawab terhadap operasi ladang, meliputi pemakanan, penjagaan kesihatan, rawatan dan lain-lain.
“’Smart breeder’ tidak perlu terlibat dalam operasi harian atau pengurusan teknikal ladang, tetapi hanya selaku pemilik ternakan yang lahir daripada induk milik kami, bermakna mereka tidak perlu menanggung kos operasi induk,” jelasnya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas lanjut, usahawan berusia 36 tahun ini berkata risiko yang ditanggung peserta pula biasanya terhad pada prestasi pembiakan.
"Sekiranya berlaku kematian induk, ternakan peserta akan digantikan sepenuhnya oleh pihak syarikat tanpa mereka perlu buat sebarang tuntutan insurans," katanya, menambah setiap pakej penyertaan meliputi tempoh lapan hingga 10 tahun, mengambil kira kitaran biologi biri-biri.
“Dalam tempoh tersebut, peserta tetap berpeluang menikmati hasil secara berperingkat melalui beberapa pusingan pengeluaran, dan bukannya sekadar pulangan sekali pusing sahaja,” jelas beliau.
Menurutnya, sistem itu juga memberi peluang peserta meraih manfaat berterusan, sama ada menjual sebahagian ternakan kepada pihak luar, menurunkan kepada generasi berikutnya atau membawa balik ke rumah sendiri.
Malah, katanya, ada peserta yang pada asalnya bermula tanpa kandang, mampu membina kandang dan menternak sendiri secara bebas selepas beberapa tahun menyertai pakej Bebiri World.
MANFAATKAN SISTEM DIGITAL, PENGURUSAN RISIKO
Menurut Abdullah Muhammad, dalam tempoh empat tahun sejak penubuhannya, Bebiri World berkembang daripada hanya 27 ekor biri-biri milik keluarganya kepada lebih 1,800 ekor dengan penyertaan hampir 800 “smart breeder”.
“Majoriti peserta tidak pernah menjejakkan kaki di ladang. Malah sebahagiannya menetap di luar negara seperti Singapura, Australia dan New Zealand,” katanya, menambah setakat ini, syarikatnya menguruskan empat kandang sendiri serta empat kandang transit di Parit Sulong, Batu Pahat dan Bukit Naning, Muar.
pic-3
Menurut Abdullah Muhammad, pertumbuhan tersebut bukan sekadar didorong oleh pertambahan fizikal ternakan, sebaliknya berpaksikan pada sistem pengurusan yang tersusun dan telus.
“Kunci kejayaan terletak pada penggunaan sistem digital yang membolehkan setiap ‘smart breeder’ memantau ternakan pada masa nyata,” jelasnya.
Melalui portal yang boleh diakses setiap peserta, mereka boleh menyemak maklumat lengkap ternakan masing-masing termasuk tarikh lahir, status kesihatan, rawatan veterinar, pembiakan serta rekod kematian. Sistem ini membolehkan pemilik memantau prestasi ternakan tanpa perlu hadir secara fizikal di ladang.
Bebiri World juga katanya memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan yang disepadukan dengan prosedur operasi standard biosekuriti bagi memantau ternakan, termasuk membuat ramalan tahap kesihatan dan prestasi pembiakan.
KRISIS PENYAKIT DAN UJIAN KETAHANAN OPERASI
Mengakui industri penternakan sentiasa terdedah kepada risiko biologi yang sukar dijangka, usahawan ternak ini berkata ujian terbesar buat Bebiri World berlaku antara September hingga November 2025 apabila mereka mengesan kehadiran wabak brucellosis, iaitu sejenis penyakit akibat jangkitan bakteria, di ladang.
“Insiden itu menyebabkan lebih 300 ekor biri-biri terpaksa dikorbankan selepas diuji positif. Semua ternakan yang dilupuskan itu digantikan semula,” katanya dan menambah insiden turut melumpuhkan sementara operasi syarikat dan ladang perlu menjalani pemantauan ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebelum dibenarkan beroperasi semula.
“Alhamdulillah, proses pemulihan masih lagi dijalankan, dengan trend penurunan kes positif yang memberangsangkan, menunjukkan ladang semakin hampir mencapai status bebas penyakit tidak lama lagi,” jelas beliau penuh kelegaan.
PELBAGAIKAN SUMBER PENDAPATAN
Menjalankan perniagaan itu tanpa kemudahan kewangan daripada institusi perbankan, Abdullah Muhammad berkata mereka bergantung sepenuhnya pada kebijaksanaan barisan peneraju syarikat dalam menguruskan aliran tunai.
“Banyak perniagaan agro gagal bukan kerana hasil ternakan berkurang, tetapi kerana berkembang terlalu cepat tanpa sistem sokongan yang kukuh,” jelasnya, sambil menambah syarikat kini mampu menjana pendapatan sekitar RM5 juta setahun hasil jualan pakej pawah moden.
pic-4
Mengulas cabaran pada fasa awal penubuhan, beliau berkata kos paling membebankan ialah pembelian baka berkualiti, terutamanya baka import, diikuti pembangunan infrastruktur dan kandang, manakala kos makanan dan kesihatan ternakan hanya dapat dikawal melalui SOP dan biosekuriti awal.
“Oleh itu, saya banyak menggunakan modal sendiri dan pendekatan berperingkat dengan fokus menjual konsep, visi dan pakej ‘Smart Breeder’ bagi menjana tunai. Bahkan pulangan pertama hanya diperoleh dalam tempoh lapan ke 12 bulan kemudian, itupun hanya dapat dicapai menerusi pengurusan aliran tunai yang ketat dan pembangunan secara bertahap,” kongsinya.
Dalam mendepani tekanan akibat “cash conversion cycle (satu tempoh masa untuk menukar pelaburan menjadi wang tunai), beliau turut mempelbagaikan sumber pendapatan, termasuk pembukaan rumah sembelih di Paya Mengkuang selain menyusun jadual pembiakan dan jualan secara strategik.
Mengenai perancangan masa depan, Abdullah Muhammad sedang merangka hala tuju jangka panjang Bebiri World bagi memacu perkembangan ekosistem agro negara, termasuk pembangunan agropelancongan berasaskan penternakan biri-biri di Kundasang, Sabah, dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi.
Model ini katanya mengambil inspirasi daripada destinasi seperti Desa Dairy Farm, dengan fokus pada pendidikan keluarga, lawatan ladang dan pendedahan kepada pelaksanaan sistem biosekuriti moden.
“Dengan sokongan aliran pelancong antarabangsa, khususnya dari China dan Korea melalui penerbangan terus ke Kota Kinabalu, potensi pendapatan harian dianggarkan antara RM7,000 hingga RM14,000. Lebih penting, inisiatif ini menjadikan penternakan platform pendidikan, kesedaran keselamatan makanan dan meningkatkan keyakinan pelancong terhadap produk agro tempatan,” katanya.
PERANAN KEWANGAN DAN EKOSISTEM INDUSTRI
Dalam konteks industri yang lebih luas, cabaran yang dihadapi pemain penternakan ruminan kecil seperti Bebiri World sebenarnya mencerminkan realiti struktur sektor ini secara keseluruhan. Penternakan ruminan kecil memerlukan pelaburan awal yang signifikan, merangkumi pembelian baka, pembinaan infrastruktur kandang serta kos penjagaan kesihatan ternakan.
Presiden Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata tempoh matang ternakan yang lazimnya mengambil masa enam hingga 12 bulan menyebabkan pulangan kewangan tidak dapat direalisasikan dalam tempoh singkat.
pic-5
Keadaan ini sekali gus meningkatkan risiko aliran tunai, khususnya bagi penternak kecil yang bergantung sepenuhnya pada hasil jualan ternakan untuk membayar komitmen pembiayaan.
Menurutnya, faktor inilah yang turut menyumbang kepada kesukaran sektor tersebut menarik penyertaan orang awam walaupun potensinya besar dalam agenda keterjaminan makanan negara.
Persepsi modal permulaan yang tinggi, pulangan lambat serta kekurangan pengetahuan dan kemahiran teknikal menyebabkan ramai, khususnya golongan belia dan orang bekerjaya, masih ragu-ragu untuk menceburi bidang penternakan secara serius.
Sehubungan itu, pihaknya melihat inovasi tempatan dan model berasaskan komuniti sebagai antara pendekatan terbaik demi mengurangkan risiko sektor pertanian dan penternakan.
“Model seperti kluster penternakan (sekumpulan penternak beroperasi dalam satu ekosistem) dan kewujudan koperasi membolehkan risiko operasi, pasaran dan kewangan dikongsi secara kolektif. Ia membantu meningkatkan skala ekonomi, memperkukuh rantaian bekalan serta dapat mengurangkan kadar kegagalan projek,” katanya.
Bukan itu sahaja, kolaborasi erat antara institusi kewangan yang menawarkan pembiayaan fleksibel dan sokongan bukan kewangan seperti latihan, bimbingan teknikal dan pemantauan projek; agropreneur yang menggerakkan inovasi; serta komuniti yang bertindak sebagai rakan kongsi dengan cara berkongsi sumber dan mengurus risiko secara kolektif akan membolehkan pembangunan sektor penternakan dipercepat.
“Semua pihak perlu memainkan peranan sama penting dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara, khususnya dalam mengurangkan kebergantungan Malaysia pada daging import.
“Oleh itu, melalui pelaburan berterusan dalam ladang berskala komersial, pemprosesan hiliran dan logistik rantaian sejuk, kita pastinya akan dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik serta memastikan bekalan yang kekal konsisten dan berkualiti,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial