JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Mohon Peruntukan Tambahan Pasang Kawat Berduri Di 69 Jeti Haram

20/02/2026 03:15 PM

TUMPAT, 20 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memohon peruntukan tambahan bagi memasang kawat berduri jenis concertina di baki 69 jeti haram yang telah dirobohkan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata setakat ini, kawat berduri telah dipasang di 27 daripada keseluruhan 96 jeti haram dirobohkan menerusi operasi bersepadu agensi keselamatan.

“Baki 69 jeti haram akan dipasang kawat berduri yang sama dan kita akan memohon peruntukan tambahan bagi tujuan itu,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Pengkalan Kubor di sini.

Beliau berkata kontraktor telah melaksanakan pemasangan kawat berduri sepanjang 1.5 kilometer dengan peruntukan RM100,000 yang diluluskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Pemasangan kawat berduri diharap dapat mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan lain yang masih cuba dilakukan di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok.

Ahmad Radzi berkata fasa pertama pemasangan kawat berduri dimulakan di pangkalan haram di pekan Rantau Panjang hingga ke Pos Ibrahim Pencen sejauh 1.5 kilometer.

“Sebanyak 27 lokasi di pangkalan haram yang dirobohkan sebelum ini dikenal pasti untuk pemasangan pagar kawat concertina di bawah fasa pertama projek itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan