EKONOMI

Rangsangan E&E Berpotensi Tingkat Perdagangan Luar Malaysia Pada 2026 - MBSB IB

20/02/2026 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Potensi peningkatan daripada menambah belian awal produk elektrik dan elektronik (E&E) menjelang pelaksanaan tarif berperingkat Amerika Syarikat (AS) ke atas pelbagai produk semikonduktor yang lebih luas boleh menyokong perdagangan luar Malaysia pada 2026.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam nota penyelidikannya berkata eksport Malaysia diunjurkan berkembang 4.5 peratus, susut daripada 6.5 peratus tahun lalu, manakala import dijangka meningkat 5.0 peratus berbanding 6.2 peratus, mencerminkan normalisasi daripada kadar pertumbuhan yang lebih kukuh tahun lepas.

Bank pelaburan itu berkata prestasi eksport negara juga akan disokong oleh kitaran peningkatan teknologi global yang berterusan dan permintaan AS yang kekal berdaya tahan, dengan syarat kenaikan tarif tambahan ditangguhkan sehingga selepas 2026.

“Sementara itu, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS dijangka meningkatkan akses pasaran dan usaha berterusan untuk mempelbagaikan eksport berupaya membantu menampan tekanan luaran dan risiko geopolitik.

“Dalam perkembangan lain, permintaan sektor komoditi yang sederhana boleh mengehadkan pengeluaran dan perdagangan produk berasaskan sumber dan lebihan bekalan pula berkemungkinan menyebabkan harga komoditi global menjadi lebih rendah,” kata MBSB IB.

Jumlah perdagangan Malaysia terus berkembang sebanyak 12.6 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 kepada RM272.37 bilion, menandakan pertumbuhan dua digit untuk lima bulan berturut-turut dengan eksport melonjak 19.6 peratus tahun ke tahun kepada RM146.87 bilion, manakala import meningkat 5.3 peratus kepada RM125.50 bilion.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata prestasi eksport Malaysia pada 2026 akan dipacu oleh tiga trend utama: pertumbuhan global dan serantau yang kukuh, perkembangan dasar tarif AS dan kekuatan eksport E&E yang berterusan.

Ia menambah, pertumbuhan ekonomi global yang semakin pesat dan ASEAN yang berkembang dengan kukuh dijangka menyokong eksport utama Malaysia, khususnya E&E, jentera dan komoditi, manakala pemuktamadan ART bersama pengecualian sedia ada telah meningkatkan prospek perdagangan Malaysia secara ketara, dengan kira-kira 64 peratus eksport ke AS kini dikecualikan daripada tarif timbal balas.

“Ini telah mengurangkan risiko tarif dan mengukuhkan momentum perdagangan dan pembuatan. Tinjauan kami yang positif untuk 2026 diperkukuh oleh data perdagangan yang teguh dan kami menjangkakan momentum ini berterusan dengan pertumbuhan eksport dijangka pada 9.3 peratus,” tambahnya.

RHB IB mengakui potensi terhadap risiko penurunan daripada rakan dagang utama, termasuk kemungkinan permintaan yang lemah dari Kesatuan Eropah (EU) dan China, yang boleh menjejaskan permintaan luaran.

Bank pelaburan itu berkata risiko tambahan termasuk perubahan dalam dasar perdagangan AS, dinamik perdagangan serantau yang sedang berkembang dan kemungkinan pengenalan levi khusus untuk sektor, terutamanya terhadap semikonduktor.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata ketidakpastian masih wujud berkenaan tarif AS dan kesan dasar era Donald Trump terhadap rantaian bekalan global, walaupun risiko kelihatan kurang teruk daripada yang dibimbangkan pada awalnya.

Ia berkata eksport berkaitan komoditi sangat dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan bekalan dan permintaan global yang tidak sekata, manakala pemulihan China yang tidak seimbang juga menimbulkan risiko penurunan.

“Sebaliknya, pelonggaran monetari global lebih awal, sokongan fiskal berterusan dan kitaran teknologi global yang semakin kukuh boleh menampan risiko penurunan,” tambahnya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan