AM

Nga Kor Ming Salur Bantuan RM23,000 Kepada Mangsa Ribut Di DUN Kepayang

22/02/2026 11:39 AM

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang menyalurkan bantuan sebanyak RM23,000 kepada 17 buah keluarga yang terjejas akibat ribut di Taman Star dan Kampung Kepayang pada minggu lepas.

Kejadian ribut yang berlaku menjelang sambutan Tahun Baharu Cina itu telah mengakibatkan kediaman mereka mengalami kerosakan.

Setiausaha Politik ADUN Kepayang Wong Kar Keat iaitu wakil kepada Nga Kor Ming selaku ADUN kawasan itu telah menyerahkan bantuan tersebut kepada kesemua mangsa terjejas hari ini.

"Kejadian itu berlaku ketika hujung minggu percutian panjang, menyukarkan usaha pembaikan dan menjejaskan kehidupan harian mangsa.

"Namun selepas berlakunya kejadian tersebut, Pusat Khidmat ADUN Kepayang telah segera menghubungi pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung untuk mengumpul dan mengesahkan maklumat mangsa yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata pada masa sama pihaknya juga mengatur penginapan sementara di hotel berhampiran secara percuma bagi keluarga yang kediamannya tidak selamat untuk didiami.

Beliau berkata jumlah bantuan untuk setiap keluarga ditentukan mengikut tahap kerosakan antara RM1,000 sehingga RM3,000. 

"Walaupun jumlah itu terhad dan tidak dapat menampung sepenuhnya kerugian mangsa akibat ribut, ia dapat meringankan beban keluarga mangsa pada saat kritikal.

"Ini menunjukkan pusat khidmat wakil rakyat, pihak swasta dan agensi berkaitan bersama-sama rakyat, memberikan sokongan dan bantuan kepada mangsa yang menghadapi kesusahan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan