JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel sepanjang kira-kira 250 meter di laluan Kempas Baru–Kulai malam tadi, susulan penahanan seorang lelaki tempatan.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan Pusat Kawalan Tren menerima maklumat berhubung gangguan sistem persemboyanan di laluan berkenaan kira-kira 8.50 malam sebelum Pasukan Polis Bantuan (PB) diarahkan menjalankan rondaan dan pemeriksaan segera di sepanjang jajaran terbabit.
“Sekitar 11.30 malam, anggota bertugas mengesan seorang individu dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 728.25 antara laluan Kempas Baru–Kulai.
“Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti memotong kabel dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan hasil tindakan pantas anggota PB, suspek berjaya ditahan pada 11.47 malam.
Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati kabel jenis empat teras telah dipotong, selain beberapa beg berisi peralatan pemotong kabel, dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut, ditemukan berhampiran tempat kejadian.
Menurut kenyataan itu, suspek kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut dan semakan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai 28 rekod jenayah lampau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial