AM

Bawa Bekas Makanan, Beg Guna Semula Ke Bazar Ramadan - Exco Perak

21/02/2026 08:43 PM

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Orang ramai digalakkan membawa bekas makanan atau beg guna semula ketika berbelanja termasuk di bazar Ramadan bagi menyokong pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di Perak bermula 1 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata ia sebagai langkah persediaan sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan September ini.

“Larangan penggunaan plastik sekali guna berkuat kuasa mulai Mac, namun penguatkuasaan sepenuhnya hanya akan dilaksanakan selepas tamat tempoh peralihan selama enam bulan.

“Tindakan kompaun tidak dikenakan dalam tempoh (enam bulan) itu bagi memberi ruang kepada orang ramai menyesuaikan diri serta membudayakan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Medan Gopeng, di sini hari ini.

Larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh Perak yang sepatutnya mulai 1 Jan lepas ditangguhkan ke 1 Mac ini bagi memberikan masa yang mencukupi kepada rakyat untuk membuat persediaan.

Ng berkata tindakan penguatkuasaan dikecualikan terhadap penjaja kecil di beberapa lokasi seperti pasar basah, pasar malam serta premis makanan.

“Kita nampak untuk kategori ini ia perlu diberikan pengecualian kerana belum ada bahan alternatif sesuai yang boleh menggantikan plastik sedia ada,” katanya.

Beliau berkata pendekatan pendidikan dan kesedaran juga akan dipergiat melalui kempen hebahan, program komuniti serta kerjasama pelbagai pihak.

“Tempoh enam bulan dianggap memadai untuk proses penyesuaian. Pada masa sama, pelbagai alternatif seperti beg kitar semula dan bekas guna semula telah tersedia di pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya sebanyak 24 lokasi bazar Ramadan dengan 1,394 petak telah dilesenkan di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Ipoh.

Beliau berkata 80 anggota MBI akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan syarat-syarat pelesenan dan kebersihan gerai di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja dan Gerai (MBI) 2020, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan