AM

Jualan Rahmah MADANI Bantu Pengguna Berjimat Sepanjang Ramadan

22/02/2026 01:47 PM

MELAKA, 22 Feb (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI yang melibatkan barangan dapur terpilih membantu pengguna berjimat dalam perbelanjaan, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan stok sepanjang Ramadan.

Ramlah Abas, 44, dari Taman Kesidang, Kampung Lapan di sini berkata setiap Ramadan, perbelanjaan barangan dapur dan keperluan asas lain sedikit meningkat berbanding bulan lain kerana keluarganya memilih untuk memasak sendiri berbanding membeli juadah berbuka puasa.

“Selalunya perbelanjaan akan meningkat sekali ganda kerana memang beli lebih sebagai stok seperti beras, minyak masak, bawang, santan, ayam dan ikan.

“Hari ini tidak tahu pun ada Jualan Rahmah MADANI tapi alhamdulillah bila ada program ini, beberapa barangan lebih murah daripada harga biasa... jadi dapat jugalah berjimat,” kata suri rumah dan ibu kepada empat anak itu ketika ditemui Bernama di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Ramlah berkata antara barangan yang dibeli ialah ayam segar, telur gred B, minyak masak botol, bawang besar dan ikan cencaru yang menawarkan harga lebih murah.

Bagi Murni Ismail, 35, dari Limbongan berkata Jualan Rahmah MADANI antara program yang dinantikan setiap bulan untuk mendapatkan barangan dapur pada harga istimewa.

“Minggu lepas, saya memang sudah beli barangan dapur tapi bila dapat tahu ada jualan berkenaan, saya ingin tambah beberapa barangan macam ayam, ikan, bawang dan telur.

“Bulan puasa ini memang hari-hari masak walaupun mudah, jadi barang dapur memang cepat habis tapi syukur juga dapat beli pada harga murah sedikit,” kata pekerja swasta yang tinggal bersama ibunya.

Sementara itu, Goh Teck Lai, 55, dari Tengkera berkata Jualan Rahmah MADANI perlu dianjurkan lebih banyak dalam sebulan dan diperluaskan di beberapa kedai runcit dan pasar raya bagi memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga lebih murah.

Goh berkata dia berharap lebih banyak barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran turut ditawarkan pada harga rahmah memandangkan pada jualan kali ini ia hanya melibatkan ikan cencaru, cili akar dan cili kering.

“Baguslah lebih banyak pasar raya dan kedai buat jualan macam ini... bila barang murah, rakyat dapat berbelanja lebih dan kedua-dua pihak untung,” kata yang bekerja sendiri.

Tinjauan Bernama di pasar raya berkenaan mendapati barangan yang ditawarkan pada harga rahmah dilabel bagi memaklumkan penggunakan selain memudahkan mereka membuat pilihan bijak.

Antara barangan terlibat pada jualan itu ialah ayam segar yang dijual pada harga RM6.95 sekilogram berbanding harga asal RM9 sekilogram, bawang besar pada harga RM5 seguni berbanding harga asal RM6.50 seguni dan telur gred B 30 biji (RM8.95) berbanding harga asal RM12.50.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan