JOHOR BAHRU, 22 Feb (Bernama) -- Seorang subkontraktor lelaki dipercayai lemas ketika keluar memancing bersama dengan anak angkatnya di Jeti Bumbung Biru, Tanjung Ayer Hitam dekat Kayu Ara Pasong, Pontian pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Hadzrat Mion Hussein berkata ketika kejadian, Tan Siang Fook @ Albert Tan, 56, dan Chong Hao Chen, 9, menaiki sebuah bot berenjin 20 kuasa kuda yang disewa sekitar 8 pagi.
Beliau berkata bot itu dipercayai melanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai, kira-kira 800 meter dari jeti.
"Anak angkat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot dan menyaksikan kejadian tersebut... semasa insiden berlaku, kedua-duanya tidak memakai jaket keselamatan," menurutnya dalam kenyataan.
Hazrat berkata Pos Kawalan Tempat Kejadian telah dibuka dan operasi mencari serta menyelamat diaktifkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.
Beliau juga berkata anak angkat mangsa telah diserahkan kepada waris terdekat dan menasihati orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan sebarang aktiviti air termasuk memakai jaket keselamatan.
"Selain itu, pastikan bot berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya
Terdahulu, tular di Facebook bahawa kanak-kanak itu telah ditemukan oleh orang awam di sebuah lokasi, dan warisnya sedang dicari.
Menurut hantaran itu, kanak-kanak berkenaan memaklumkan bahawa ayahnya telah terjatuh ke dalam sungai ketika memancing selain memberitahu mereka menetap di Kulai.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, yang juga Ahli Parlimen Kulai, menerusi hantaran di Facebook turut memaklumkan bahawa waris kanak-kanak itu telah dapat dihubungi dan dalam perjalanan untuk mengambilnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial