EKONOMI

Bukan Sekadar Berbelanja, Kehadiran Hari Raya Turut Papar Jangkaan Ekonomi Isi Rumah

22/02/2026 06:17 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Ketika sebahagian besar masyarakat berjimat cermat pada masa ini, pengecualian itu sebaliknya ketara menjelang Hari Raya apabila isi rumah terus mengutamakan perbelanjaan keperluan walaupun berdepan realiti tekanan kos sara hidup.

Di serata negara misalnya, kalangan keluarga sibuk mengatur perbelanjaan harian, malah bertindak menangguhkan pembelian tidak penting demi meneruskan tradisi memperuntukkan wang bagi pembelian barangan keperluan perayaan seperti pakaian, persiapan makanan, perbelanjaan pulang ke kampung serta duit raya.

Aliran sedemikian hanya menyerlahkan dinamik tingkah laku pengguna di Malaysia apabila perbelanjaan perayaan kekal berdaya tahan dan tidak setakat menjadi aktiviti ekonomi, tetapi gabungan paparan nilai-nilai budaya, jangkaan sosial serta keutamaan isi rumah.

Bagi kebanyakan keluarga misalnya, keperluan memastikan Hari Raya Aidilfitri diraikan secara bermakna lebih kekal menjadi komitmen yang melangkaui kekangan kewangan.

 

Raya kekal keutamaan isi rumah

Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Sulaiman, 38, mengakui kepentingan mengamalkan sikap berhemat dalam berbelanja, namun tetap mengetepikan sebahagian wang bagi memenuhi keperluan beraya untuk empat anak-anaknya.

“Kami mengurangkan aktiviti makan di luar atau membeli-belah, tetapi untuk sambutan raya, anak-anak sentiasa menjadi keutamaan. Baju raya yang baharu dan balik kampung adalah perkara yang akan kami penuhi,” katanya.

Bagi Hafiz Hambali, 29, yang bertugas di sektor swasta, keperluan berbelanja untuk perayaan seperti Aidilfitri dilakukan dengan membuat tabungan seawal mungkin walaupun keadaan kewangan kekal terbatas.

“Saya uruskan perbelanjaan lain dan menyimpan secara berperingkat. Ini disebabkan Aidilfitri adalah sesuatu yang dinantikan dan saya akan menyediakan duit raya dan keperluan asas seawal mungkin walaupun sambutannya sederhana,” katanya.

Nur Firdaus Abdul Rahim yang bertugas di sektor awam, menyifatkan keperluan membeli kuih raya sebagai perkara wajib bagi persiapan raya setiap tahun kerana amalan itu telah lama dipraktikkan dalam keluarga walaupun dalam keadaan kos sara hidup meningkat.

“Bagi saya, kuih dan biskut raya adalah pelengkap Hari Raya. Sejak kecil lagi, kami telah biasa dengan hidangan seperti biskut raya...sikit atau banyak, syaratnya mesti ada,” katanya.

Berikutan itu, Nur Firdaus berkata keperluan berbelanja itu ditampung dengan mengurus perbelanjaan dalam aspek lain, termasuk mengurangkan pembelian baju raya baharu kepada hanya sepasang baju pada hari raya pertama dan memakai baju lama untuk hari berikutnya.

Anggaran perbelanjaan bagi kuih raya adalah kira-kira RM500 berikutan ahli keluarganya yang besar.

Baginya, walaupun perit “mengikat perut” pada awalnya, apa lebih bermakna adalah pilihan bersederhana demi memastikan semangat perayaan itu tetap diteruskan.

 

Perbelanjaan perayaan melangkaui penggunaan

Ketua Pegawai Eksekutif Centre For Market Education Dr Carmelo Ferlito berkata perbelanjaan bagi tujuan perayaan tidak harus dilihat semata-mata dari sudut penggunaan kerana turut membawa makna sosial dari segi jalinan hubungan kekeluargaan, amalan saling membalas budi baik serta identiti.

“Kalangan isi rumah ini tidak hanya membeli makanan, pakaian atau hiasan; mereka sebenarnya sedang meneruskan rasa dan nilai kebersamaan. Walaupun dalam tekanan kos sara hidup, mereka sanggup mengatur semula komitmen berbanding mengabaikan aspek perbelanjaan perayaan,” katanya kepada Bernama.

Ferlito juga menyifatkan elemen tradisi dan jangkaan keluar sebagai peranan penting dalam mempengaruhi dan membentuk sebarang keputusan perbelanjaan, termasuk menjadi tuan rumah menerima kehadiran saudara mara, menyediakan juadah serta memberi duit raya yang kesemuanya sarat dengan makna simbolik serta emosi.

“Dalam erti kata lain, tindakan ekonomi berorientasikan masa depan dan bermakna atau mempunyai kepentingan.

“Walaupun isi rumah berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan, mereka lebih cenderung untuk menyokong perbelanjaan yang mengekalkan identiti dan hubungan di samping mengurangkan penggunaan yang lebih anonim atau kurang penting,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada perbelanjaan perayaan yang tinggi menandakan kewangan yang kukuh atau kerentanan, Ferlito berkata kedua-dua aspek itu mungkin berlaku seiring.

"Perbelanjaan perayaan yang stabil mungkin menunjukkan keyakinan terhadap prospek pendapatan pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, kita tidak harus mengabaikan kemungkinan bahawa ada yang menangguhkan perbelanjaan untuk digunakan pada waktu lebih penting atau pengurusan mudah tunai jangka pendek --menggunakan simpanan, bonus atau kredit bagi melicinkan urusan perbelanjaan pada masa yang penting.

“Dalam hal ini, perbelanjaan untuk menyambut perayaan mungkin serentak dengan keadaan kewangan asas yang rapuh,” katanya.

 

Pelbagai saluran biaya perbelanjaan 

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata isi rumah pada masa ini mempunyai lebih banyak pilihan atau fleksibiliti untuk membiayai perbelanjaan perayaan, dengan menggunakan pendapatan, simpanan dan pelbagai kemudahan kewangan.

Fleksibiliti ini memperluas pilihan pembiayaan, tetapi tidak menghapuskan risiko kewangan, terutama jika isi rumah terlalu bergantung kepada kredit jangka pendek.

Selain pembiayaan bank tradisional, pengguna juga boleh menggunakan akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) dan perkhidmatan Ar-Rahnu, mengikut keadaan kewangan mereka.

Mohd Afzanizam berkata kebiasaannya perbelanjaan akan meningkat ketika musim perayaan walaupun data terkini menunjukkan bahawa isi rumah masih berhati-hati, yang menyaksikan pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 5.3 peratus pada suku keempat 2025, adalah lebih rendah berbanding purata jangka panjang kira-kira enam peratus.

Katanya langkah berhati-hati ini mencerminkan tekanan kos sara hidup berterusan yang masih mempengaruhi keputusan perbelanjaan.

Beliau turut menekankan mengenai penggunaan kredit yang tinggi pada bulan Ramadan dan Hari Raya khususnya menerusi pembiayaan peribadi dan pembelian kenderaan, yang sering didorong oleh kempen promosi institusi kewangan dan pengedar.

 

Seimbangkan sambutan dan langkah berwaspada

Walaupun perbelanjaan menyambut perayaan masih tinggi, Mohd Afzanizam menasihatkan isi rumah supaya tidak berhutang secara berlebihan, terutama apabila mereka menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber.

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan literasi kewangan dan pengurusan perbelanjaan yang berhemat selain menyifatkan Ramadan menawarkan peluang untuk bersederhana dan mengawal diri dalam membuat keputusan berkaitan kewangan.

Ferlito pula berkata penurunan yang ketara dalam perbelanjaan perayaan akan menjadi isyarat kukuh bahawa isi rumah kurang yakin terhadap kemampuan mereka.

Beliau berkata perbelanjaan ketika perayaan lazimnya tetap dilaksanakan berikutan kepentingannya secara simbolik, dan perbelanjaan yang banyak dikurangkan menandakan bahawa isi rumah telah beralih daripada harapan baik yang fleksibel kepada tingkah laku kewangan yang lebih defensif.

Oleh itu, ahli ekonomi menyifatkan bahawa perbelanjaan untuk perayaan memberi gambaran bagaimana isi rumah Malaysia menilai kedudukan kewangan dan jangkaan masa depan mereka.

Keadaan itu, kata mereka, menunjukkan bahawa perbelanjaan semasa Hari Raya bukan sekadar aktiviti ekonomi secara bermusim, malah menjadi petunjuk penting kepada harapan isi rumah terhadap kewangan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan