AM

Dua Insan Tersayang Gugur Demi Negara, Pengorbanan Yang Tidak Terbalas - Khaled

22/02/2026 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pengorbanan keluarga anggota tentera Truper K. Indiran yang meninggal dunia pada Khamis lepas sebagai tidak terbalas.

Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata ibu kepada mendiang Indiran, S. Usha bersama keluarga sekali lagi diuji dengan kehilangan insan tersayang yang telah mengabdikan khidmat kepada negara.

Bapa Indiran, Lt Kol C. Kayamboo daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T pada 2016.

“Pengorbanan sebuah keluarga yang menyerahkan bukan seorang tetapi dua insan tersayang kepada tanah air merupakan satu pengorbanan yang tidak akan dapat dibalas mahupun dibandingkan dengan apa jua cara sekalipun,” katanya.

Mohamed Khaled turut menzahirkan rasa sedih yang mendalam kepada keluarga mendiang dan memohon rakyat Malaysia agar terus mendoakan mereka supaya kekal cekal serta tabah menghadapi dugaan berat itu.

Pada 18 Feb lepas, Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja  Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.

Semalam, Mohamed Khaled dilapor berkata tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan