AM

Fahmi Santuni Pengunjung Bazar Ramadan Bangsar, Edar 200 Pek Bubur Lambuk

23/02/2026 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menyantuni orang ramai dan peniaga di Bazar Ramadan Jalan Telawi, Bangsar menerusi program agihan bubur lambuk kepada masyarakat setempat.

Sebanyak 200 pek bubur lambuk diedarkan kepada pengunjung menerusi inisiatif Kami Care Bubur Lambuk @Lembah Pantai yang bertujuan menyemarakkan ukhuwah Ramadan dengan kerjasama petugas dan penyampai daripada Astro Audio.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata program santai itu adalah platform terbaik untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat di kawasan berkenaan meskipun pada hari bekerja.

“Hari ini kami menyantuni dan menyampaikan bubur lambuk kepada mereka yang datang ke bazar. Suasananya sangat santai dan saya lihat kehadiran orang ramai sangat menggalakkan,” katanya kepada media selepas sesi agihan tersebut.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hala tuju penyiaran nasional, Fahmi menekankan kepentingan media arus perdana untuk kekal dinamik dalam menyantuni golongan Gen Z menerusi gaya penyampaian maklumat yang relevan tanpa mengetepikan etika kewartawanan.

Justeru, katanya pelantikan Ashwad Ismail, 41, sebagai Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu dilihat bertepatan bagi tujuan itu dalam menyuntik tenaga baharu buat Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).

Beliau percaya kepakaran Ashwad mampu memacu transformasi kandungan dan format penyiaran agar lebih pantas, sekali gus mendepani cabaran landskap media digital yang kian mencabar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan