AM

Lebih 1,500 Sertai Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan 2026

24/02/2026 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Lebih 1,500 asatizah muda dari seluruh negara menyertai Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan 2026 (Hamka) yang julung kali dianjurkan di sini sebagai platform wacana, dialog dan interaksi golongan muda membincangkan masa depan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata program itu juga menjadi platform asatizah muda berbincang mengenai peranan mereka dalam memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai pemikiran Islam sebenar yang bersifat berkemajuan, wasatiyyah (kesederhanaan), dinamik dan berlandaskan al-Quran.

“Program ini permulaan kepada satu gelombang baharu gerakan asatizah muda. Kami akan gerakkan Himpunan Asatizah Muda di peringkat zon dan negeri secara lebih agresif pada tahun ini termasuk sepanjang Ramadan,” katanya selepas merasmikan program berkenaan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa protem bagi menyelaras pelaksanaan program itu di seluruh negara, selari dengan inisiatif Rakan Masjid.

Zulkifli ketika mengulas mengenai program Da’ie Madani berkata inisiatif itu antara penggerak utama dalam memperkasakan peranan asatizah muda di lapangan melalui latihan kemahiran bagi tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah.

Zulkifli berkata pentauliahan asatizah perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta menghormati bidang kuasa negeri.

“Kami mahu semua gerakan ini dilaksanakan secara tertib dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada. Pendekatan ini penting bagi memastikan usaha memperkasakan ekosistem hal ehwal agama mendapat sokongan pelbagai pihak,” katanya.

Zulkifli ketika mengulas perdebatan di media sosial mengenai penentuan tarikh awal Ramadan dan Aidilfitri berkata ia tidak menjejaskan peranan serta kredibiliti kepakaran falak negara.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan sebagai rujukan antarabangsa dalam bidang falak, dengan kepakaran tempatan berada pada tahap terkehadapan dan diiktiraf antara yang terbaik.

“Kita patut berbangga dengan kepakaran yang ada. Negara lain juga merujuk kita. Usaha segelintir pihak yang memperdebatkan perkara ini tidak akan mengganggu-gugat kelebihan yang kita miliki,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli turut memaklumkan pengumuman berhubung keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) akan dibuat esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan