PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi agensi penguat kuasa terawal menyahut tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu secara agresif individu disyaki bertindak sebagai orang tengah untuk menyogok mana-mana agensi kerajaan dan penguat kuasa, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Beliau berkata antara fokus utama SPRM termasuk menumpaskan rangkaian ejen dan orang tengah yang berperanan secara sistematik mengurus hubungan antara sindiket dan penguat kuasa untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori mereka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Kerjasama strategik bersama JPJ ini akan diperkasakan dari semasa ke semasa, termasuk melalui operasi bersama, pertukaran maklumat serta pelaksanaan program pencegahan bagi menutup ruang dan peluang kepada ejen serta orang tengah untuk terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Khusairi menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.
Sebelum ini, beliau mendedahkan ejen dan orang tengah dipercayai mengaut keuntungan lebih besar berbanding penjawat awam yang menerima hanya sebahagian kecil wang rasuah.
Beliau memberi contoh rasuah membabitkan penguat kuasa negara yang membawa masuk migran berjumlah RM6,000 dan penguat kuasa hanya memperoleh kurang RM1,000 selebihnya diambil ejen.
Sementara itu, Aedy Fadly memberikan komitmen penuh jabatan berkenaan akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM, termasuk berkongsi maklumat risikan, memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol dengan sindiket.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut mengadakan perbincangan termasuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, menyeluruh dan berintegriti.
Turut hadir Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM PKPj Hisyam Mohd Yusoff.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial