JITRA, 25 Feb (Bernama) -- Semasa ramai beralih kepada juadah moden, warga emas berusia 77 tahun membuktikan keaslian kuih tepung talam tradisional air tangannya tetap mempunyai tempat istimewa di hati pelanggan.
Som Abdul Halim atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Njang dari Kampung Paya Parit Latih di sini berkata mengekalkan resipi sejak 1966 dalam pembuatan kuih tepung talam yang terkenal dengan tekstur lembut serta rasa seimbang lemak dan manis.
“Dulu, Mak Njang tiada ada apa hendak dibuat di rumah apabila suami ke bendang, jadi mencuba buat kuih tepung talam. Masa awal, banyak buang (kuih) kerana tidak menjadi tetapi akhirnya berjaya dan sejak itu saya membuat kuih tepung talam.
“Masa awal berniaga, suami hantar kuih dari Jitra ke Alor Setar menggunakan motosikal tetapi masa itu dibuat kecil-kecilan sahaja. Daripada 20 hingga 30 bekas, sekarang syukur hasil jualan boleh mencecah sehingga 200 hingga 300 bekas sehari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Som berkata jumlah kuih tepung talam boleh mencecah antara 600 hingga 700 bekas pada Ramadan terdiri daripada enam jenis, iaitu tepung talam gula merah, talam pandan, talam ubi, seri muka pandan serta durian dan kaswi.
“Rutin Ramadan, saya ke kedai di Jalan Kubang Lembu, Pekan Jitra untuk membuat bancuhan kuih pada 12 tengah malam dengan dibantu cucu dan lebih 14 pekerja.
“Proses membuat kuih mengambil masa dan semua disiapkan pada 11 pagi. Sebab itu saya bantu sedikit-sedikit memandangkan saya sudah tidak begitu kuat,” katanya.
Som berkata selepas kuih siap, ejen akan mengambil kuih itu untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.
“Walaupun pada usia begini saya patut duduk di rumah, saya tetap datang ke kedai membuat kuih sebab itu sebahagian daripada rutin. Saya gembira apabila orang makan dan beritahu sedap kerana ini air tangan dan resipi sendiri,” katanya.
Sementara itu, cucu sulungnya, Yusrina Muhamad Yusof, 36, berkata sangat teruja untuk meneruskan pembuatan kuih itu walaupun generasi muda kini kurang berminat mempelajari proses membuat kuih-muih tradisional
“Saya duduk dengan nenek sejak bayi, jadi memang selalu tengok nenek membuat kuih talam dan dari situ saya belajar dan berminat. Kalau nenek datang (kedai), dia akan membantu tetapi kalau tiada, saya boleh menghasilkan resipi sama seperti dia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial