EKONOMI

Daya Saing Perdagangan Negara Kekal Terkawal Susulan Pengukuhan Ringgit -- Amir Hamzah

26/02/2026 12:23 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Impak keseluruhan pergerakan nilai ringgit terhadap daya saing perdagangan negara dijangka kekal terkawal, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ringgit telah meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025 serta mencatatkan kenaikan antara 1.5 hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau lain.

"Pada 2025, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport kasar yang lebih tinggi sebanyak 6.5 peratus, berbanding 5.8 peratus pada 2024.

"Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh eksport dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal kukuh," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Bobbey Suan yang bertanyakan sama ada pengukuhan nilai ringgit pada masa ini akan menjejaskan daya saing eksport negara serta langkah yang diambil bagi membantu pengeksport mengurus kesan daripada pergerakan kadar pertukaran mata wang berkenaan.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata pengukuhan ringgit pada masa ini turut menyaksikan nilai eksport negara terus mencatatkan perkembangan positif.

Beliau turut menekankan prestasi eksport Malaysia tidak bergantung semata-mata pada faktor kos dan ringgit, sebaliknya disokong oleh keupayaan pengeluaran yang mantap serta tahap integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global. 

"Pertumbuhan eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan permintaan berkaitan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, peningkatan kapasiti penerbangan dan lanjutan kemudahan perjalanan tanpa visa.  

"Walaupun pengukuhan nilai ringgit boleh memberi kesan terhadap daya saing eksport negara dan pengeksport melalui pertukaran hasil perolehan dalam dolar AS kepada ringgit, ini dijangka terkawal memandangkan syarikat pengeksport utama cenderung mengambil langkah lindung nilai untuk mengurangkan kesan pergerakan mata wang," katanya.

Amir Hamzah berkata pengukuhan nilai ringgit juga menjadi antara faktor yang membantu menurunkan kos import barangan.

Pengukuhan nilai ringgit juga tidak memberikan impak secara menyeluruh, sebaliknya bergantung kepada kos komoditi yang dipengaruhi oleh kekangan permintaan serta penawaran, katanya.

"Secara dasarnya, apa yang penting adalah kita akan kawal, terutama untuk produk-produk kawalan asas bagi memastikan ini tidak keluar daripada julat yang dikatakan munasabah. 

"Kita juga memastikan bantuan diberikan itu cukup meluas untuk rakyat berpeluang mendapat sokongan perlindungan sosial yang ada," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan