KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Proses reka bentuk projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 dijangka dapat dimuktamadkan pada September tahun ini, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 itu, kini dalam fasa penyediaan reka bentuk terperinci dan setakat Januari lepas, kemajuan reka bentuknya berada di peringkat konsep.
Abdul Rahman berkata perunding telah dilantik pada 9 Mei tahun lepas dengan tempoh perkhidmatan bermula 19 Mei 2025 hingga 19 Ogos 2032 bagi melaksanakan penyediaan reka bentuk serta penyeliaan pelaksanaan projek.
“Dari segi pelaksanaan, proses pengambilan tanah hanya boleh dimulakan selepas reka bentuk terperinci dimuktamadkan.
“Ini kerana jajaran sebenar dan komponen mitigasi banjir seperti lokasi kolam takungan, kerja-kerja pelebaran sungai serta laluan akses hanya dapat ditentukan secara tepat pada peringkat tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tiew Way Keng tentang kemajuan semasa pelaksanaan projek tebatan banjir itu, serta langkah diambil bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan khususnya dari aspek penyediaan reka bentuk, pengambilan tanah dan proses tender.
Tiew juga ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memperketat syarat kelulusan pembangunan, khususnya berkaitan pelan induk saliran dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP), di lembangan Sungai Selangor bagi mengelakkan pembangunan baharu daripada memburukkan kejadian banjir kilat.
Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 di Daerah Hulu Langat itu adalah projek membabitkan peruntukan RM512 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial