AM

Kerajaan Perak Akan Salur Bantuan Sewajarnya Kepada Mangsa Ribut Di Taiping

25/02/2026 04:43 PM

IPOH, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada mangsa terjejas akibat ribut yang berlaku di Taiping semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama akan menjalankan bancian terperinci mengenai tahap kerosakan serta keperluan bantuan yang bersesuaian.

"Jadi, setakat ini kita akan melihat cadangan daripada Pegawai Daerah tentang sumbangan ataupun apa-apa keperluan kewangan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan serta Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak tahun 2026 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa di Pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini.

Semalam, kejadian ribut di Taiping telah menyebabkan beberapa kerosakan termasuk rumah ditimpa pokok, bumbung diterbangkan angin, bumbung premis perniagaan runtuh serta kerosakan khemah bazar Ramadan.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 22 keluarga yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Kaya dalam daerah Larut, Matang dan Selama sejak malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata sejumlah RM4 juta diperuntukkan untuk Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa bagi membantu mahasiswa Perak yang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

Beliau berkata Bantuan Sara Diri diberikan mengikut peringkat pengajian, iaitu RM500 bagi pelajar Diploma, RM700 bagi Ijazah Sarjana Muda, RM800 bagi Sarjana dan RM1,000 bagi Doktor Falsafah.

"Selain Bantuan Sara Diri, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Kecemasan Mahasiswa bagi membantu pelajar yang berdepan situasi luar jangka seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kecurian atau musibah lain.

"Bantuan ini diberikan berdasarkan merit kes dengan kadar maksimum sehingga RM5,000 dan tertakluk kepada pertimbangan jawatankuasa kelulusan," katanya.

Saarani berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM750,000 untuk Bantuan Baucar Buku yang bakal memberi manfaat kepada 5,000 mahasiswa dengan nilai RM150 seorang bagi membantu meringankan kos pembelian bahan rujukan dan buku pengajian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan