KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah menerima lampu hijau untuk menyertai empat kejohanan antarabangsa tahun ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027 dan Kejohanan Dunia 2027 di Australia.
Pegawai Eksekutif Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) Norzeela Sulaiman berkata kebenaran itu diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas badan induk berkenaan mengemukakan permohonan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026, hari ini.
Beliau berkata antara kejohanan yang akan disertai adalah di Amerika Syarikat dan slot berkenaan diberikan kepada Aaliyah dalam usaha meningkatkan kedudukan dunia atlet berusia 22 tahun itu.
“Empat kejohanan itu, satu daripadanya di Amerika Syarikat dan kita turut melibatkan skuad negara lain bagi saingan di Putrajaya. Kita juga menyasarkan lima pingat emas pada Sukan SEA di Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri JKK di MSN, di sini, hari ini.
Sementara itu, Norzeela berkata skuad luncur air negara akan menyertai beberapa kem latihan di Putrajaya yang akan diselia jurulatih berpengalaman dari Chile.
“Kita juga akan menganjurkan satu kejohanan antarabangsa dengan menjemput semua negara Asia Tenggara mengambil bahagian pada Julai ini, insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial