AM

Jabatan Kesihatan Kelantan Ambil Sampel Makanan Di Bazar Ramadan Mulai Esok

25/02/2026 08:49 PM

KOTA BHARU, 25 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan mengambil sampel makanan secara rawak di seluruh bazar ramadan di negeri ini mulai esok, kata Pengarahnya Datuk Dr Mohd Azman Yacob.

Beliau berkata pemeriksaan tersebut juga akan tertumpu terhadap premis menjual makanan yang berisiko seperti berasaskan santan dan minuman.

"Kadang-kadang makanan ini ia kelihatan baik tetapi mungkin ada kuman yang kita tidak nampak sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan.

"Keputusan sampel makanan yang kita ambil ini jangka diketahui dalam masa satu atau dua minggu, sebelum tindakan selanjutnya diambil kepada peniaga berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Walkabout Bazar Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2026 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Dr Mohd Azman berkata sehingga kini sebanyak 386 gerai serta 625 pengendali makanan bazar ramadan di Kelantan telah diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 305 premis berada pada tahap bersih, manakala 620 pengendali makanan didapati telah mendapat suntikan anti tifoid.

"Hasil operasi pemeriksaan dan pemantauan pula, sebanyak 15 notis kompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan kepada pengendali makanan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan keracunan makanan di bazar ramadan.

"Kita juga sebenarnya telah menjalankan pemantauan menyeluruh di seluruh negeri sebelum Ramadan lagi melibatkan pusat pembekalan bahan mentah berisiko tinggi seperti 48 kilang pemprosesan ayam, 30 premis pembekal santan dan 27 kilang pemprosesan ais," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan