DUNIA

Raja Norway Raja Harald V Perlu Terus Dirawat Di Hospital Di Tenerife

26/02/2026 05:59 PM

COPENHAGEN, 26 Feb (Bernama-dpa) -- Raja Norway Raja Harald V perlu berada di hospital di pulau Tenerife, Sepanyol untuk beberapa hari lagi bagi pemerhatian dan rawatan lanjut, menurut kenyataan doktor baginda yang dikeluarkan oleh Istana Diraja pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Raja berusia 89 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan kesihatan umum yang baik dan memberi tindak balas positif terhadap rawatan.

Baginda dimasukkan ke Hospital Universiti Hospiten Sur pada Selasa semasa percutian peribadi di Tenerife bersama Permaisuri Sonja, 88, akibat jangkitan dan penyahhidratan.

Doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz, tiba di Kepulauan Canary pada Rabu dan memaklumkan bahawa jangkitan itu berpunca daripada keradangan pada kaki Raja Harald.

“Apabila seseorang yang berusia hampir 90 tahun dimasukkan ke hospital akibat jangkitan, ia adalah serius,” kata Bendz dalam satu kenyataan.

“Itulah sebabnya adalah perlu untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan kesihatan raja sebelum baginda dibenarkan keluar dari hospital, walaupun keadaan baginda ketika ini stabil,” jelas Bendz.

Ini bukan kali pertama Raja Harald dimasukkan ke hospital semasa bercuti. Pada 2024, baginda dimasukkan ke hospital semasa berada di Malaysia dan dipasang dengan perentak jantung sementara.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan