AM

Polis Lengkapkan Kertas Siasatan Kes Pelajar Hina Agama

27/02/2026 10:14 PM

KUANTAN, 27 Feb (Bernama) -- Polis telah melengkapkan kertas siasatan bagi kes melibatkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata suspek masih dalam tahanan reman dan kertas siasatan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Jadi, kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata setakat malam ini, pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara mengenai kes itu. 

“Saya mohon kepada masyarakat untuk menunggu tindakan selanjutnya dan pihak polis akan ambil tindakan sewajarnya terhadap kes ini,” katanya, sambil menambah suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan. 

Dua hari lepas, seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Terdahulu, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu di media sosial.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan