AM

Surat Setuju Terima Pembaikan Jalan LTU Pakej 3B, 3C Dikeluarkan Pada 3 Mac - Nanta

27/02/2026 11:20 PM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Surat Setuju Terima (SST) bagi kerja-kerja pembaikan jalan rosak di Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Gua Musang akan dikeluarkan pada 3 Mac ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata SST akan dikeluarkan pada tarikh itu sebelum pelaksanaan dimulakan serta-merta.

"Antara yang telah saya bangkitkan di meja bulat hari ini adalah berkaitan isu jalan rosak dan kesesakan di LTU Pakej 3B & 3C di Gua Musang.

"Saya amat memandang serius isu ini dan saya sendiri telah turun ke lokasi ini bagi melihat perkembangan di kawasan terlibat," menurutnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata sejurus SST diserahkan, kerja-kerja pembaikan akan dilaksana serta-merta dan disasarkan siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu. 

"Kementerian ini memberi penegasan bahawa aspek keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan, dan segala usaha sedang dipercepat bagi memastikan laluan tersebut selamat, selesa serta boleh digunakan dengan baik sempena musim perayaan Aidilfitri," katanya.

Nanta berkata pihaknya akan memantau rapi pelaksanaan kerja-kerja terbabit agar ia mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan. 

Beliau berkata sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan tidak akan dikompromi, dan kerjasama serta keprihatinan orang awam amat dihargai demi keselamatan bersama.

Terdahulu, isu keadaan jalan di kawasan itu mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim meluahkan kekecewaan rakyat menerusi hantaran di Facebook pada 20 Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan