JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Teliti Setiap Aspek Dakwaan Komplot Sabotaj Negara - KPN

28/02/2026 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan penelitian menyeluruh terhadap semua aspek berkaitan dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan berhubung isu tersebut memerlukan masa yang mencukupi dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa bagi memastikan keadilan serta ketelusan proses undang-undang.

Beliau menegaskan sebarang tindakan hanya akan diambil selepas setiap perincian diteliti secara mendalam dan profesional.

“Perkara ini masih dalam tindakan pihak polis dan diharap semua pihak dapat bersabar. Sudah pasti siasatan akan dijalankan secara profesional berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh.

“Sekiranya ada perkembangan (terbaharu), kita akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan gerakan yang melibatkan kerjasama antara seorang tokoh tempatan berpengaruh dengan sebuah agensi media antarabangsa pada Khamis.

Siasatan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan