AM

Projek HPPPP Stabilkan Harga Ikan Di Pasaran - Mohamad

28/02/2026 09:14 PM

JERTIH, 28 Feb (Bernama) -- Projek Hub Pengumpulan, Pemprosesan, Penyimpanan dan Pengedaran Ikan (HPPPP) Wilayah Timur yang dirasmikan hari ini bertujuan memendekkan rantaian pemasaran hasil laut, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta menstabilkan harga ikan di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata projek yang dibina di kawasan seluas lebih 9,600 kaki persegi dengan kos RM5.81 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) itu telah beroperasi awal Januari tahun lepas.

“Dengan adanya Bilik Sejuk Dingin berkapasiti 300 tan metrik dan kemudahan ‘Blast Freezer’, kami kini mempunyai keupayaan untuk menyimpan dan memproses ikan dalam skala besar. HPPPP ini bertindak sebagai 'perisai' kepada nelayan dan pengguna. 

“Melalui kapasiti penyimpanan yang besar, kami mampu menguruskan lambakan hasil laut dengan lebih sistematik, memastikan kesegaran ikan terjaga serta menjamin bekalan protein negara sentiasa mencukupi terutama pada musim tengkujuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan AgroMADANI dan Iftar Bersama Nelayan Kuala Besut di sini hari ini.

Mohamad berkata sistem simpanan dan logistik yang kukuh perlu diwujudkan bagi memastikan hasil laut yang melimpah tidak terbazir, sebaliknya dapat disimpan dengan rapi untuk kegunaan rakyat ketika bekalan berkurangan.

“Melalui HPPPP, kami ingin memendekkan rantaian pemasaran. Kami mahu ikan dari kompleks terus ke hab dan terus kepada pengguna, selain mahu kurangkan penglibatan 'orang tengah' yang kadangkala menekan harga kepada nelayan tetapi menjual mahal kepada rakyat.

“Hab ini akan memastikan harga ikan lebih stabil dan margin keuntungan nelayan lebih besar. Inilah yang dipanggil ekonomi MADANI, iaitu ekonomi yang memberi keadilan kepada pengeluar dan pengguna,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad turut merasmikan Kilang Air Batu Fasa 3 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut melibatkan pelaburan RM2.5 juta.

Beliau berkata kilang baharu yang beroperasi awal Januari lepas itu menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 50 tan (air batu) sehari, menjadikan kapasiti keseluruhan PNK Besut kini mencecah 103 tan sehari. 

“Peningkatan kapasiti ini kritikal bagi menampung permintaan tinggi nelayan di Kuala Besut yang mencecah sehingga 100,000 blok air batu setahun.

“Pengoperasian fasa baharu ini menjamin kualiti hasil tangkapan nelayan pada tahap optimum sebelum diedarkan ke seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PNK Besut Tengku Harun Tengku Ismail berkata pembukaan hab itu diharapkan dapat mengatasi kejatuhan harga ikan ketika berlaku lambakan ikan di pasaran.

“Lazimnya selepas musim tengkujuh bermula bulan Mac, jumlah tangkapan ikan dalam kalangan nelayan tempatan meningkat mendadak menyebabkan nelayan terpaksa menjual hasil tangkapan mereka dengan harga rendah sedangkan harga runcit tidak banyak berubah.

“Hab ini nanti diharapkan dapat membeli lebihan ikan yang ditangkap nelayan, sekali gus dapat mengatasi masalah lambakan ikan dan memastikan harga ikan stabil,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod, sebanyak 1,000 nelayan yang bernaung di bawah PNK Besut aktif menangkap ikan di perairan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan