JENAYAH & MAHKAMAH

ATM Tugaskan 6,000 Anggota Jaga Keselamatan Sempadan Sepanjang Masa

28/02/2026 09:24 PM

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menugaskan lebih 6,000 anggota daripada ketiga-tiga cabang merangkumi darat, laut dan udara bagi memastikan keselamatan serta kesiagaan di sempadan dan perairan negara berada pada tahap tertinggi sepanjang masa.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata operasi ATM dilaksanakan 24 jam sehari, termasuk sepanjang bulan Ramadan bagi memantau perairan, sempadan daratan dan kawasan strategik lain.

Beliau berkata meskipun sebahagian besar anggota beragama Islam menunaikan ibadah puasa, tugas hakiki seperti rondaan dan pemerhatian tetap diteruskan tanpa kompromi.

“Keamanan yang kita nikmati, termasuk menjelang Aidilfitri adalah hasil keberadaan ATM yang sentiasa menjalankan tugas dan menjaga keselamatan negara,” katanya ketika ditemui selepas program Lawatan Panglima Angkatan Tentera ke Pos Tanjung Sepang di sini hari ini.

Beliau berkata lawatan ke Pos Tanjung Sepang, satu daripada kawasan operasi Ops Merpati di bawah kendalian Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) hari ini bertujuan menyantuni anggota serta meninjau keadaan persekitaran operasi dan infrastruktur sedia ada.

Dalam lawatan itu, Panglima ATM meninjau pencapaian operasi termasuk penangkapan oleh dua unit ranger serta penggunaan teknologi dron bagi memantau potensi pendaratan haram di sempadan. 

Beliau memaklumkan penambahbaikan berterusan dilakukan bagi menutup jurang operasi antara pos dan meningkatkan keberkesanan perisikan, termasuk melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan agensi lain.

Beliau turut menekankan penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti operasi yang telah lama digunakan serta memastikan kerjasama antara agensi dijalankan secara bersepadu untuk keberkesanan maksimum.

“Pos Tanjung Sepang berada dalam keadaan terbaik dan keselamatan masyarakat di kawasan operasi terjamin. Ini membuktikan apa yang dilakukan ATM selari dengan keperluan kerajaan dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, Malek Razak turut meluangkan masa beramah mesra dan berbuka puasa bersama anggota dan pegawai ATM di Pos Tanjung Sepang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan