EKONOMI

Pencapaian Ekonomi Negara Hasil Pengukuhan Tatakelola, Usaha Berterusan Banteras Rasuah - PM

28/02/2026 10:54 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Pencapaian mutakhir ekonomi negara yang membanggakan, termasuk prestasi ringgit yang disifatkan antara terbaik di Asia, adalah hasil pembaharuan tatakelola dan usaha berterusan membanteras rasuah serta penyelewengan dana awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengukuhan nilai ringgit, pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kadar inflasi rendah serta peningkatan pelaburan asing dan domestik tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tadbir urus.

"Ia terkait dengan isu governance. Tatakelola yang baik dapat mengelakkan rompakan harta negara dari orang yang berkuasa.

"Ia menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan dana. Itu kita lakukan dan yang tentunya menjana pertumbuhan ekonomi," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata kejayaan tersebut bukan hasil usaha menteri semata-mata, sebaliknya melibatkan kerjasama seluruh jentera kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, penjawat awam, dan disokong oleh sektor swasta, institusi pengajian tinggi serta pakar akademik bagi merangka dasar yang boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi. 

"Alhamdulillah. Ini benar-benar berlaku. Kita lihat prestasi, bukan saja ringgit, (malahan) pertumbuhan ekonomi tinggi, pelaburan tertinggi dan besar serta inflasi yang rendah," katanya.

Mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menunjukkan pengukuhan ketara sejak awal 2026, didorong sentimen pelaburan yang positif dan aliran masuk modal asing.

Ringgit berada pada 3.8910/8960 ketika ditutup pada Jumaat. Ia melonjak melepasi paras psikologi 4.00 pada Januari dan penganalisis meramalkan ringgit boleh berada antara 3.78 dan 3.80 berbanding dolar AS.

Kadar inflasi pula kekal rendah, berada pada sekitar 1.3 hingga 1.6 peratus sejak akhir 2025 hingga awal 2026, sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli rakyat.

Dari segi pertumbuhan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang sekitar 5.2 peratus bagi keseluruhan tahun 2025, dengan prestasi kukuh 6.3 peratus pada suku keempat, mencerminkan permintaan domestik yang mantap serta pemulihan eksport yang berterusan.

Mengulas tindakan penguatkuasaan terhadap kes rasuah, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak pernah berkompromi dan memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

"Kepimpinan tak boleh mengizinkan perompakan harta rakyat, sebab itu belum pernah dalam sejarah, tindakan oleh agensi pengkuatkuasa terhadap rasuah sama ada tun, tan sri, datuk (atau) siapa pun.

"Baru ini siasatan panglima angkatan tentera, ketua pengarah, pegawai menteri, setiausaha politik (bekas) perdana menteri, apa maksudnya?

"Maksudnya sampaikan mesej supaya rakyat faham tindakan harus telus dan berani," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan