KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah bilik di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini hari ini.
Kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, sejurus menerima panggilan kecemasan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil bersama balai bantuan BBP Sri Petaling telah diarahkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Kanan Mohd Azizi Abdullah berkata kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat 10.
“Bomba telah menemukan seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun rentung di dalam sebuah bilik dan dipercayai telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan bahawa mangsa tinggal bersama ibunya dan dipercayai berada di lokasi semasa kejadian kebakaran berlaku.
Bagaimanapun, sehingga kini status sama ada ibu mangsa sempat menyelamatkan diri atau tidak masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.17 petang dan keluasan kebakaran dianggarkan 20x40 kaki persegi dengan peratusan kemusnahan kira-kira 80 peratus.
“Seramai 13 anggota bomba bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam proses pemadaman. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial