EKONOMI

AmanahRaya Pegang Dana Tertangguh RM452 Juta, Setakat 31 Disember 2025 -- MoF

03/03/2026 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) mentadbir, menguruskan dan memegang dana tertangguh berjumlah RM452 juta, iaitu setakat 31 Disember 2025.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), dana tertangguh itu merujuk kepada dana tunai daripada pentadbiran harta pusaka atau amanah yang dipindahkan kepada AmanahRaya.

Ia berlaku selepas pemilik asal dikenal pasti dan disahkan meninggal dunia, namun dana terlibat belum dapat diagihkan.

“Dalam konteks AmanahRaya, aset yang diuruskan adalah dalam bentuk dana tertangguh dan bukannya aset beku.

“Antaranya disebabkan oleh benefisiari atau penerima yang berhak tidak dapat dikesan, tidak memberikan kerjasama atau belum membuat tuntutan,” kata MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang ingin mengetahui mengenai pelan tindakan dan mekanisme pelaksanaan bagi menyelesaikan aset pusaka beku negara berjumlah RM90 bilion setara dengan hampir lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar 2024.

Menurut MOF, dana itu diasingkan dan dipegang buat sementara oleh AmanahRaya selaku Pemegang Amanah Awam (Public Trustee) bagi tujuan pentadbiran, termasuk menyiasat, mengenal pasti serta menjejak benefisiari yang berhak, sebelum pengagihan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Mengulas mengenai anggaran aset pusaka beku berjumlah RM90 bilion, MOF berkata aset tersebut secara amnya merujuk kepada harta pusaka si mati yang masih dibekukan di bank, institusi kewangan lain atau pejabat tanah kerana proses perundangan dan pentadbiran belum diselesaikan.

Ini termasuk ketiadaan surat kuasa mentadbir atau geran probet atau apabila pentadbir pusaka belum dilantik secara sah.

“Dalam keadaan ini, aset tersebut masih berada di bawah kawalan institusi berkaitan masing-masing,” katanya.

Menurut MOF, kementerian itu melalui agensi berkaitan akan terus melaksanakan pendekatan pencegahan dan pemudahcaraan melalui usaha menjejak dan mengenal pasti waris, pendigitalan perkhidmatan pentadbiran pusaka, amanah dan wasiat, program kesedaran dan pendidikan perancangan harta, serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan institusi berkaitan.

“Pendekatan ini bertujuan mempercepatkan penyelesaian kes pusaka, mengurangkan harta terbiar, dan melindungi hak waris secara teratur dan berkesan bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara mampan dan berorientasikan kepentingan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan