DUNIA

ASEAN Gesa Diplomasi, Hentikan Segera Permusuhan Di Timur Tengah

04/03/2026 02:40 PM

JAKARTA, 4 Mac (Bernama) -- ASEAN menggesa semua pihak supaya menahan diri dan menghentikan segera permusuhan di Timur Tengah susulan beberapa hari serangan berskala besar oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Rabu, blok serantau itu menyeru semua pihak agar mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan serta menyelesaikan perbezaan melalui diplomasi dan dialog demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

“Peningkatan ketegangan ini amat dikesali terutamanya kerana ia berlaku ketika usaha diplomatik sedang dijalankan, termasuk inisiatif pengantaraan yang diterajui Oman bagi memajukan penyelesaian melalui rundingan,” kata mereka.

Para menteri juga menyuarakan kebimbangan serius terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah yang menimbulkan ancaman besar terhadap nyawa dan keselamatan orang awam, selain menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau serta global.

Mereka turut menyeru semua negara supaya menghormati undang-undang antarabangsa.

“Kami menegaskan semula kewajipan semua negara untuk menyelesaikan perbezaan melalui cara aman serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata mereka.

Mereka juga menegaskan semula kewajipan pihak yang terlibat dalam konflik bersenjata untuk melindungi orang awam serta infrastruktur awam selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB.

ASEAN turut menegaskan semula komitmen bersama untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada rakyat negara anggota ASEAN, khususnya dalam tempoh ini.

Langkah itu selaras dengan Deklarasi ASEAN mengenai Garis Panduan Bantuan Konsular oleh Misi Negara Anggota ASEAN di Negara Ketiga kepada Warganegara Negara Anggota ASEAN yang lain, serta Garis Panduan Penyediaan Bantuan Kecemasan oleh Misi ASEAN di Negara Ketiga kepada Warganegara Negara Anggota ASEAN dalam Situasi Krisis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan