AM

Fahmi Zainol Digugurkan Sebagai Exco Pulau Pinang - Chow

04/03/2026 03:53 PM

GEORGE TOWN, 4 Mac (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol digugurkan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri berkuat kuasa hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengumumkan perkara itu berkata pihaknya menerima surat rasmi daripada Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh semalam yang memohon penggantian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu sebagai exco kerajaan negeri.

“Saya telah bertemu Fahmi pagi tadi dan Yang Berhormat (Fahmi) menerima keputusan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.

Chow berkata beliau akan mengemukakan cadangan pengganti Fahmi kepada Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib petang ini untuk mendapatkan perkenan, sebelum pejabatnya mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengumumkan pengganti berkenaan.

Beliau berkata cadangan pengganti Fahmi adalah daripada parti yang sama, memandangkan Fahmi mewakili PKR dalam kerajaan negeri.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Ahad lepas memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang Fahmi, yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta susulan pendakwaan mahkamah yang sedang dihadapinya.

Pada 27 Feb lepas, Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Fahmi yang juga antara ahli MMK termuda dalam pentadbiran Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan itu pada Ogos 2023.

Sementara itu, Chow dalam kenyataan memaklumkan Tun Ramli telah memperkenan pelantikan ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik sebagai Ahli MMK negeri selaras dengan Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Chow berkata pelantikan itu berkuat kuasa daripada tarikh Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Rahsia Ahli MMK Pulau Pinang yang akan diadakan di Seri Mutiara pada 6 Mac ini. 

Pelantikan Goh yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang itu adalah bagi menggantikan Fahmi yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli MMK hari ini.

Goh, 52, menjadi ADUN Bukit Tambun sejak 2018 dan menerajui PKR Batu Kawan, jawatan yang dimenangi tanpa bertanding dalam pemilihan parti tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan