PETALING JAYA, 4 Mac (Bernama) -- Avocados Australia Ltd iaitu badan industri utama yang mewakili pengusaha avokado Australia memeterai kerjasama dengan Monash University Malaysia dan University of Wollongong (UOW) Malaysia.
Badan industri berkenaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Monash University dan memorandum perjanjian (MoA) dengan UOW Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan nutrisi, latihan kulinari dan penglibatan industri.
Pengerusi Avocados Australia Matthew Kleyn berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama di antara industri dengan ahli akademik di samping menyokong usaha untuk memperluas pengetahuan tentang avokado dalam kalangan pelajar dan pengguna.
“Kerjasama kami dengan Monash University menumpukan kepada penyelidikan nutrisi, pemindahan pengetahuan dan penglibatan pelajar untuk menyokong pilihan kesihatan yang berinformasi dan berasaskan bukti.
“Manakala kerjasama kami dengan UOW Malaysia dibina berasaskan Program Latihan Kulinari Buah-buahan Australia yang bertujuan melengkapkan pelajar kulinari dengan pengetahuan dan kemahiran untuk memasukkan avokado premium Australia ke dalam penciptaan menu," katanya pada majlis MoU dan MoA di sini hari ini.
Kleyn berkata Pusat ASEAN-Australia yang dilancarkan pada 2025 oleh Menteri Luar Australia Penny Wong membiayai kerjasama ini bagi memperkukuh hubungan ekonomi, budaya dan perhubungan antara rakyat Australia dan Asia Tenggara.
“Melalui program ini, kami menyasarkan untuk menyediakan pelajar kulinari dan profesional muda dengan pendedahan praktikal terhadap hasil hortikultur premium, rantaian bekalan global dan aplikasi kulinari moden,” katanya.
Kleyn menambah bahawa kerjasama ini dibina atas asas komersial yang kukuh dan eksport avokado Australia mencecah 18,487 tan pada 2025 dengan nilai hampir A$100 juta (A$1 = RM2.78).
“Hong Kong, Singapura dan Malaysia menyumbang 84 peratus daripada jumlah jumlah eksport dengan Malaysia muncul sebagai satu daripada pasaran kami yang paling dinamik dan dipercayai," katanya.
Mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lima peratus di Malaysia ke atas buah import termasuk avokado, Kleyn berkata industri tetap menumpukan perhatian kepada penyediaan produk berkualiti kepada pengguna.
“Daripada menumpukan perhatian kepada cukai lima peratus itu, yang paling penting adalah apabila pengguna memilih untuk mencuba avokado, mereka menerima produk berkualiti cemerlang. Itu sentiasa menjadi tumpuan kami dan akan terus menjadi keutamaan kami," katanya.
Apabila ditanya mengenai sasaran eksport Avocados Australia untuk beberapa tahun akan datang khususnya bagi Asia Tenggara, Kleyn berkata matlamatnya adalah untuk terus mengembangkan pasaran dan meningkatkan penggunaan di seluruh rantau ini.
“Di pasaran seperti Malaysia dan Hong Kong, avokado Australia sudah menguasai kira-kira 70 peratus bahagian pasaran, mungkin sedikit lebih tinggi. Jadi, tumpuan kami bukan sahaja untuk meningkatkan bahagian pasaran tetapi juga untuk meningkatkan penggunaan secara keseluruhan.
“Pada masa ini, purata rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 200 gram avokado setahun. Di Australia, seorang individu secara purata menggunakan sekitar lima kilogram setahun. Walaupun jumlah itu tidak dianggap tinggi, ia menunjukkan terdapat ruang pertumbuhan yang ketara di pasaran seperti Malaysia," katanya.
MoU dan MoA berkenaan ditandatangani oleh Kleyn, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman serta Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UOW Malaysia, Profesor Dr Hiew Pang Leang serta disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial