DUNIA

Hasil Bon Global Tinggi Tekan Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

04/03/2026 09:08 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup rendah Rabu meskipun prestasi niaga hadapan emas COMEX adalah positif, ketika pasaran memantau rapat konflik di Timur Tengah.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas rendah kerana lonjakan harga minyak telah mendorong hasil bon global meningkat dengan ketara, sekali gus memaksa pasaran menilai semula jangkaan inflasi dan kemungkinan tindak balas daripada bank pusat.

Beliau berkata apabila hasil bon meningkat, kos peluang untuk memegang aset yang tidak menjana hasil seperti emas turut meningkat, yang lazimnya memberi tekanan kepada harga.

“Walaupun emas telah pulih daripada paras terendah pada sesi semasa dagangan Asia, ia masih diniagakan di bawah paras penutup semalam apabila penilaian semula hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan terhadap tindakan Rizab Persekutuan terus mendominasi hala tuju jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2026 susut kepada US$5,189.20 bagi setiap auns troy daripada US$5,288.50 pada Selasa, manakala April 2026 rendah kepada US$5,207.40 bagi setiap auns troy daripada US$5,306.70 dan Mei 2026 merosot kepada US$5,224.80 bagi setiap auns troy daripada US$5,316.30 sebelumnya.

Kontrak Jun dan Ogos 2026 turut ditutup rendah pada US$5,258.70 bagi setiap auns troy berbanding US$5,350.20 sebelum ini.

Jumlah dagangan merosot kepada sembilan lot daripada 21 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 87 kontrak daripada 95 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$5,033.65 bagi setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 3 Mac, 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan